PENULIS terpanggil untuk memberi pandangan dari perspektif ekonomi berkenaan dua isu yang terdapat dalam ucapan Belanjawan 2023: Membangun Malaysia MADANI. Iltizam menoktah kemiskinan dan penilaian pertumbuhan sukuan KDNK memerlukan pencerahan agar dua isu ini tidak disalah tafsir yang boleh memberi implikasi kepada perlaksanaan dan potensi pelaburan.Umpamanya, menoktahkan kemiskinan adalah hampir mustahil untuk  dilaksanakan secara realitinya tetapi iltizam untuk mengurangkan kemiskinan adalah usaha yang murni oleh sesebuah kerajaan. Begitu juga, menilai prestasi pertumbuhan KDNK sukuan perlu dibuat secara berhati-hati agar tidak memberi kesan sebaliknya.

Pertama, wujudkah noktah dalam insiden kemiskinan dalam sesebuah ekonomi. Jawapannya tidak jika bersandarkan kepada bukti, pengalaman dan tadbir urus ekonomi di seluruh dunia.

Kemiskinan wujud hasil daripada tindak balas ekonomi yang tidak cekap. Punca utama kepada tetidakcekapan ini adalah ketidakseimbangan sistem pengagihan pendapatan yang dijana hasil daripada pertumbuhan ekonomi. Kaedah sistem percukaian, bayaran pindahan dan pasaran buruh adalah instrumen utama yang digunakan untuk memperbaiki ketidakseimbangan pengagihan pendapatan.

Selain daripada itu, perlu juga difahami bahawa ketidakseimbangan pengagihan pendapatan juga dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti kegagalan pasaran akibat monopoli, pendidikan, produktiviti dan pekerjaan. Jadi, kemiskinan itu adalah proses normal dalam sesebuah ekonomi apabila wujudnya ketidakcekapan pengoperasian ekonomi itu sendiri.

Kemiskinan tetap wujud hatta bagi sebuah negara yang telah mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi.

Pada Rajah 1, penulis kongsikan saiz kadar kemiskinan di negara-negara OECD sebagai contoh. Walaupun kemiskinan sejumlah tertentu dapat dibasmi pada hari ini, mungkin esok, lusa atau bulan hadapan akan ada kemiskinan baharu apabila ekonomi berubah. Situasi ini juga diperhatikan di antara kumpulan B40, M40 dan T20 apabila berlaku turun naik pendapatan. Kemiskinan bukanlah angka bersifat statik.

Realitinya, kemiskinan hanya dapat dikurangkan dan sejauh mana ianya dapat dikurangkan bergantung kepada saiz ketidakseimbangan pendapatan. Semakin setara pengagihan pendapatan, semakin tinggi kemiskinan dapat dikurangkan.

*Sumber OECD

Kedua, adakah pertumbuhan sukuan KDNK menjadi alat pengukur “kesihatan” ekonomi yang baik? Dari perspektif ekonomi, pertumbuhan sukuan KDNK bukan lah menunjukkan tahap prestasi ekonomi sebenar.

Kerajaan perlu mengelakkan mengunakan maklumat yang boleh memberi implikasi negatif kepada ekonomi terutamanya kepada potensi pelabur. Gambaran ekonomi yang menyusut dari sukuan kedua sehingga keempat boleh memberi kesan dalam menarik pelabur asing. Ini bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk menarik pelaburan dan mengaktifkan semula pertumbuhan ekonomi.

Mengapa perubahan sukuan perlu dielak dari menjadi tumpuan indikator oleh kerajaan?
Pertumbuhan sukuan dipengaruhi oleh perbelanjaan akibat daripada aktiviti atau acara tertentu yang bersifat bermusim seperti sambutan hari raya. Perkara ini akan berlaku saban tahun di sukuan tersebut dan akan mewujudkan fixed pattern.

Pada Rajah 2 di bawah, tren pergerakan KDNK sukuan sepanjang tahun 2018 dan 2019 (pra-pandemik) dan 2021 (pasca-pandemik) adalah sama iaitu meningkat pada sukuan kedua dan mula menurun pada sukuan ketiga dan keempat. Adakah kita mahu katakan di sini bahawa ekonomi 2018 dan 2019 turut juga meleset?

*Sumber Jabatan Perangkaan Malaysia

Pada pandangan penulis, penilaian dan penghujahan berkenaan dengan pergerakan ekonomi sukuan perlu digunakan secara berhati-hati  kerana ianya boleh memberi gambaran negatif kepada potensi pelabur. Malahan, pertumbuhan sukuan juga bukan lah indikator terbaik dalam mengukur “kesihatan ekonomi”. Oleh kerana itu, badan dunia seperti Bank Dunia, IMF dan lain-lain amat jarang sekali memberi tumpuan kepada pertumbuhan sukuan.


* Prof. Madya Dr Mohd Yusof Saari adalah Penganalisis Ekonomi merangkap Ketua Ekonomi di Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA)

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.