Apatah lagi, elemen berkenaan menjadi kekangan terbesar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PRDM) serta kerajaan secara keseluruhan dalam usaha membanteras kegiatan ini.
Beliau juga membayangkan berlaku sogokan dilakukan sindiket.
Hakikatnya, perjudian dalam talian adalah serius dan memberi kesan buruk kepada sosial, politik dan ekonomi apabila tidak dipantau rapi oleh pihak berkuasa.
Masalahnya premis judi dalam talian secara haram ini sudah lama wujud dan terus aktif sekiranya terdapat permintaan daripada pelanggan, manakala tiada tindakan berkesan diambil.
Ramai pimpinan politik dan agensi penguatkuasa sering mengangkat isu ini tetapi masalah judi dalam talian terus menjadi semakin membimbangkan.
Jenayah ini masih berleluasa disebabkan kelemahan pimpinan, penguatkuasaan, tidak ada integriti segelintir pegawai kerajaan dan pengaruh politik serta serba sedikit isu undang undang.
Sebenarnya, campur tangan ahli politik dalam pentadbiran kerajaan bukanlah baharu dan tidak mengejutkan.
Kita sudah banyak mendengar campur tangan itu dalam soal perolehan, kontrak atau tender kerajaan yang banyak dipengaruhi kebanyakan menteri sebagai ahli politik.
Mereka akan memastikan kontrak diberikan kepada kroni dan suku-sakat.
Tidak hairanlah, kita selalu ungkapan cemuhan begini: ‘kontrak kerajaan, pesan motosikal, dapat basikal, bayar harga kereta.’ Inilah antara masih berlaku dalam kontrak kerajaan.
Apabila kegiatan rasuah berleluasa dalam kalangan pegawai kerajaan tidak berintegriti yang bersekongkol dengan kartel, ia memberi kerugian besar kepada kerajaan.
Orang politik pula memastikan ada ‘Napoleon Kecil’ membiak dalam perkhidmatan dengan menguasai pejabat awam dan berlagak seperti ‘terlampau berkuasa’ hingga melebihi pegawai atasan.
Yang jelas, impak campur tangan politik ke atas pentadbiran dan kewangan negara, cukup besar dan negara serta rakyat tidak mahu lagi melihat sikap campur tangan berlebihan kuasa politik terus-menerus mencemari imej serta kredibiliti sektor awam.
Lebih teruk, pertimbangan politik tidak selari undang-undang berisiko meruntuhkan institusi.
Jadi apabila Saifuddin mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram dinaungi pemimpin politik, perbuatan jenayah ini boleh menambahkan kerosakan hingga menghancurkan negara.
Apatah lagi pihak penyedia platform perjudian dalam talian boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.
Perlu diingat, bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyatakan kerajaan rugi RM2 bilion setahun atas cukai judi dalam talian.
Ini belum termasuk kerugian dialami kaki judi dan pengaliran wang ke luar negara.
Kita tertanya-tanya bilakah isu ini akan dapat diselesaikan atau sekurang-kurangnya berada di tahap minimum.
Hakikatnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat 6,381 laman sesawang judi dalam talian dan sejumlah 212,399 talian telefon termasuk talian mudah alih serta tetap yang menghantar spam khidmat pesanan ringkas (SMS) meragukan seperti mempromosi judi dalam talian yang juga ditamatkan perkhidmatannya bermula 2020 hingga akhir 2022.
Mereka menggunakan kepakaran dan platform IP daripada luar negara agar pihak berkuasa tidak dapat mengesan serta menjejaki kegiatan mereka dengan mudah.
Statistik ini membimbangkan jika tidak ada inisiatif berkesan daripada pihak berwajib yang sepatutnya memikir dua langkah ke depan.
Ada juga desas-desus ahli politik mengarahkan pegawai kanan badan penguatkuasa supaya tidak mengambil tindakan atau melepaskan kumpulan sindiket dengan alasan mereka adalah penyumbang besar dana politik sesuatu parti politik.
Jika perkara ini benar dan masih berlaku, ia adalah tindakan sangat merbahaya kerana sindiket ini adalah penjenayah melakukan aktiviti haram selain judi dalam talian yang boleh merosakkan negara.
Sindiket akan memenuhi apa sahaja kehendak mereka. Penjenayah ini kadangkala dapat menguasai polisi kerajaan atas sebab termakan budi atau ugutan.
Apabila sudah terjerumus, maruah akan tergadai. Ahli politik tidak boleh menggadai negara disebabkan kepentingan sendiri atau masa depan politik mereka.
Kini agak sukar untuk menentukan negarawan yang benar-benar memikirkan rakyat dan masa depan generasi akan datang, tetapi negara ini mempunyai terlalu ramai ahli politik lebih memikirkan bila pilihan raya.
Bertugas dengan amanah, tanpa pilih kasih
Naungan politik tidak sepatutnya berlaku kerana mereka perlu menunjukkan akhlak baik untuk memperkasakan nilai integriti, sekali gus memastikan masa depan negara tidak gelap akibat gejala rasuah.
Mereka sepatutnya menunjukkan contoh dan tindakan baik supaya diikuti serta boleh dicontohi pegawai kerajaan dan rakyat jelata.
Sebagai kakitangan kerajaan pula, mereka tidak mampu menghalang orang politik untuk campur tangan tetapi mereka ada hak untuk tidak patuh kepada arahan (rasuah) mereka.
Hakikatnya, pemimpin baik dalam semua peringkat perlu memiliki tiga kriteria.
Pertama, berkualiti kerana pemimpin sedemikian boleh dinilai melalui pengalaman dan profesionalisme ketika melaksanakan tugas.
Kedua, berani berpegang dengan kebenaran walaupun diarahkan melakukan sesuatu menyalahi undang-undang, manakala ketiga, integriti dan memiliki sifat beretika tinggi dan tidak melakukan sesuatu melanggar undang-undang untuk kepentingan peribadi.
Jalankan tugas dengan penuh amanah dan tanpa pilih kasih.
Malangnya, dua kriteria terakhir itu kurang dimiliki banyak pemimpin hari ini. Tanpa kriteria terbabit, sesuatu yang dilakukan polis akan dilihat cacat dan merugikan anggota berkhidmat dengan dedikasi dan berintegriti.
Ahli politik patut membantu, menyokong pegawai kerajaan, penguatkuasa dan menolak perbuatan judi haram dalam talian ini yang boleh merosakkan imej negara.
Selain itu, tindakan ini juga boleh mengancam integriti badan penguatkuasa serta merosakan nama baik dan imej negara.
Isu ini tidak boleh diambil ringan dan perlu ditangani dengan lebih serius kerana boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.
Kerajaan perlu ada iltizam politik kuat untuk memerangi isu pengaruh politik dalam pentadbiran kerajaan.
Bahkan berdasarkan penemuan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, kebanyakan ahli politik dilihat mencampuri urusan pentadbiran yang keuntungan peribadi dapat dicapai walaupun dengan membelakangi undang-undang dan peraturan.
Perdana Menteri mempunyai peranan penting untuk mengekang rasuah dalam kalangan ahli politik dan kakitangan kerajaan.
Soalnya, bilakah ahli politik hendak berubah?
* Datuk Seri Akhbar Satar merupakan Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.