DALAM kehangatan semasa pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan desakan-desakan untuk diawalkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), suara-suara yang menganjurkan kewarasan dan kesederhanaan tenggelam kerana kelantangan pihak-pihak yang semakin gelojoh mahu menawan kuasa.

Kita juga dapati ramai orang masih lagi menjauhkan diri daripada terlibat dengan politik, yang kita lihat melalui peratusan keluar mengundi yang rendah dalam siri PRN baru-baru ini, kerana berasa jelik dengan kerakusan ahli politik, selain hampa dengan kegagalan usaha-usaha pembaharuan yang cuba dilakukan sebelum ini.

Malangnya, apabila kelompok tengah politik (middle ground) memilih untuk menjauhkan diri, ia hanya membesarkan ruang untuk mereka yang lebih keras dan rakus kuasa.

Kelompok tengah yang bersikap sederhana dalam masyarakat mesti diperluas dan diperkuatkan.

Perlu diakui, kelompok tengah itu sendiri seperti agar-agar dan boleh goyah bergantung pada isu-isu tertentu yang menyentuh masyarakat, etnik, agama atau pun kesetiaan politik.

Namun begitu, usaha gigih oleh kelompok tengah untuk membendung keekstreman perlu diteruskan.

Demi kesejahteraan negara, biarlah unsur-unsur ekstrem berada di mana mereka sepatutnya berada yakni tersisih di pinggiran, bukan di tengah-tengah persada politik dan masyarakat.

Sebuah pepatah Arab mengatakan bahawa manusia berada di landasan agama pemimpin mereka. Ungkapan ini wajar direnungi dengan jujur.

Lihat juga bagaimana situasi semasa mencerminkan keadaan-keadaan demokrasi dan budaya politik masyarakat kita.

Pada tahun 2018, Malaysia mempunyai hampir 15 juta pengundi yang mana 82 peratus telah mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bagaimana sebahagian besar pengundi Malaysia boleh sekadar berdiri dan sekadar melihat ketika salah tadbir urus yang teruk dan memalukan negara terus berlaku di peringkat tertinggi?

Ramai yang bertanya mengapa orang tidak marah. Mungkin kita juga perlu bertanya mengapa perlu ada kemarahan?

Demokrasi dan politik hanya boleh dilaksanakan secara rasional dan penuh falsafah dalam bentuk yang paling ideal.

Hakikatnya di alam rakyat biasa yang nyata, kita dapati bahawa keputusan politik dicorak oleh terlalu banyak sebab-sebab yang berdasarkan emosi dan pemikiran tidak rasional.

Kadang-kadang, seperti yang telah kita perhatikan melalui rentetan peristiwa-peristiwa semasa yang berlaku, ia boleh turun ke dasar kekauman, di mana kecekapan menjadi kurang bernilai berbanding kaum.

Kita sepatutnya bertindak bijak dan tidak memisahkan demokrasi, atau institusi-institusinya, daripada masyarakat tempat mereka beroperasi, kerana kita bimbang tumpuan kita lari dari masalah-masalah sebenar yang melanda kita.

Kita perlu persoalkan apa yang wajar kita terima dan harapkan daripada calon-calon yang kita pilih.

Kita telah terbiasa harapkan seorang individu secara automatik terus berubah menjadi pemimpin sejurus menang pilihan raya. Pengalaman pedih dan tragik kita kebelakangan ini telah tunjukkan ia harapan palsu.

Pada masa lalu, pemimpin-pemimpin telah dipilih menyandang jawatan legislatif tertinggi, tetapi mereka mengisi jawatan-jawatan itu dengan kekuatan intelektual mereka dan rasa tanggungjawab yang kekal utuh.

Namun, permainan dan perkiraan politik tidak pernah hilang. Malangnya, keprihatinan terhadap tadbir urus yang baik semakin lama semakin berkurangan dan menurun dengan ketara.

Kita tidak lagi mendapati diri kita mampu terkejut dengan takat ketidakcekapan serta perbuatan dan sikap mementingkan diri sendiri demi menawan kuasa dan kekayaan yang mengiringinya.

Amatlah menyedihkan apabila setiap kali kita menyangka bahawa kita telah mencapai titik kebobrokan terendah, suatu titik yang lebih rendah ditemui tidak berapa lama kemudian.

Kesan-kesan semua kejadian tersebut kepada nyawa , kelangsungan kehidupan rakyat, mata pencarian, dan negara hanya diambil berat apabila penguasa terancam dengan kemungkinan hilang undi.

Berapa lamakah strategi begitu boleh digunakan sebelum kita benar-benar tiba ke titik yang paling teruk?

Mengupas dan menjawab secara mendalam soalan-soalan ini tidak mudah, namun jawapannya harus dicari dan diusahakan secara bersama oleh rakyat Malaysia yang berjuta jumlahnya, yang merupakan punca kedaulatan negara.

Kelompok tengah khususnya perlu teruskan menuntut, bekerja, dan mengatur langkah-langkah demi mendapatkan perubahan.

Tambahan lagi, zaman digital pasca-pandemik yang kita kini lalui akan memerlukan kita mencari cara baharu melaksanakan dan melindungi demokrasi kita, dan ia bermula dengan memahami dan menghargai peranan institusi-institusi kerajaan.

Semua yang dinyatakan di sini bukanlah perkara-perkara yang mudah dicapai, dan memerlukan kerja keras, pengorbanan dan masa.

Kita mesti menerima hakikat ini. Jika kita membiarkan sahaja perkara-perkara ini berlaku, ia akan terus menyebabkan kesusahan dan kesengsaraan, malah mungkin bertambah keruh, apabila institusi-institusi ini runtuh dan kesan-kesan daripada keputusan-keputusan tidak bertanggungjawab menyebabkan keadaan semakin parah.

Inilah perjuangan yang perlu disedari dan diteruskan oleh rakyat. Kisah perjuangan ini telah bermula lama sebelum kesengsaraan dan kehampaan yang kita hadapi kini, dan ditulis dengan peluh, air mata dan harapan oleh gelombang demi gelombang individu dan komuniti yang ingin mewujudkan tanah air yang lebih adil, lebih berbudi, lebih saksama untuk diri dan masyarakat mereka masing-masing.

Saya yakin kisah itu belum berakhir dan kita mesti menulisnya, sekali lagi, bersama-sama.



* Tan Sri Ariff Yusof merupakan bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
 
** Artikel ini diolah semula daripada petikan buku “Parliament, Unexpected” oleh Tan Sri Ariff dan Lutfi Hakim Ariff.

*** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.