Kita tuliskan semula yang sebenarnya tentang merdeka dan pejuang yang sesetengah dalam kalangan mereka terlindung, malah ada yang terpadam terus daripada sejarah.
Biarpun sudah lebih enam dekad berlalu, kebenaran tentang merdeka menjadi sesuatu tidak pernah luput tarikhnya.
Siapa lagi kalau bukan pejuang yang sebenarnya dicatatkan dalam sejarah kemerdekaan yang amat besar nilainya itu.
Kemerdekaan bukan sahaja terlepas daripada belenggu penjajah, akan tetapi masa yang sama menjadi satu bentuk mengukuhan kuasa dalam kalangan elit politik.
Lalu, banyak fakta yang terpadam atau sengaja dipadamkan demi kepentingan pihak tertentu.
Malah merdeka menjadi susut nilainya apabila dalam beberapa perkara sudut pandangan penjajah tentang kemerdekaan juga terus dikekalkan sebagai sejarah.
Pejuang yang bergerak bertentangan dengan penjajah dikaburkan atau dilabelkan sebagai ‘kiri’ atau ‘komunis.’
Hakikatnya menjadi ‘kiri’ kepada penjajah tidak semestinya terus kiri apabila negara mencapai kemerdekaan.
Bagaimanapun, pejuang yang dilabelkan ‘kiri’ itu tersisih dalam sejarah kemerdekaan. Mereka seperti dimusuhi hanya kerana menjadi ‘kiri’ kepada penjajah.
Melabelkan ‘kiri’ atau ‘komunis’ pada era penjajah bukanlah suatu yang luar biasa. Itu merupakan satu bentuk pembunuhan karakter dan sangat zalim terhadap pejuang kemerdekaan apabila diteruskan selepas negara mencapai kemerdekaan.
Seolah-olah masih ada tangan-tangan ghaib penjajah yang terus memusuhi pejuang kemerdekaan.
Oleh sebab itu tidak hairanah kalau apresiasi kemerdekaan sesetengah dalam kalangan kita terutama elit yang berkuasa condong pada naratif penjajah.
Maka yang diapungkan sebagai pejuang kemerdekaan hanya elit-elit politik arus utama yang ternyata sangat baru berbanding pejuang sebelum mereka.
Hal itu menjadikan pejuang kemerdekaan dalam kalangan ulama, wartawan dan sasterawan tidak banyak tercatat dan diangkat dalam sejarah.
Bukan itu sahaja malah sebahagian besar daripada mereka terus kekal dengan label ‘kiri’ atau ‘komunis.’
Itu adalah suatu yang tidak adil, bukan sahaja kepada pejuang kemerdekaan berkenaan malah generasi selepas mereka.
Pemikiran penjajah
Perkara yang sebenar mengenai kemerdekaan tidak sampai kepada generasi apabila era selepas merdeka masih dikawal oleh pemikiran penjajah.
Pejuang kemerdekaan yang sebenar ada di belakang tabir dan mereka tidak terlalu dahagakan pengiktirafan daripada mana-mana pihak.
Mereka berjuang kerana tanggungjawab dan tidak mengharapkan sesuatu selain memastikan negara ini menjadi milik anak watan.
Sekalipun begitu, pihak yang bertanggungjawab terhadap sejarah kemerdekaan tidak boleh mengabaikan mereka yang tidak sealiran dengan politik arus utama.
Kemerdekaan itu bukanlah tinta di bilik berhawa dingin, akan tetapi merupakan darah dan air mata.
Sejarah didokong oleh kebenaran dan tanggungjawab pihak yang berkuasa pada sesuatu zaman. Maka kedua-dua perkara itu mesti didahulukan dalam menulis semula sejarah supaya generasi semasa mendapat fakta sebenar terhadap peristiwa besar di tanah air mereka.
Hakikatnya, parti politik hanya wujud pada pertengahan tahun 1940-an, akan tetapi gerakan menentang penjajah sudah bermula awal abad ke 20 oleh ulama-ulama Melayu di seluruh Malaya.
Mereka inilah yang memainkan peranan awal dan penting dalam menyalakan semangat bangkit dan lawan terhadap penjajah.
Perjuangan ulama-ulama besar Malaya waktu itu memang satu bentuk gerakan politik yang bercitra kebangsaan.
Bagaimanapun, bukan politik kepartian yang sering mendahulukan kuasa dan selalu toleran dalam perjuangan.
Gerakan politik menuntut kemerdekaan lebih menjurus perjuangan kebangsaan, bukan berebut kuasa dalam kalangan sesama anak watan.
Parti politik UMNO sangat sinonim dengan kemerdekaan. Hal itu berlaku disebabkan sejak awal lagi elit politik menempatkan diri di baris depan sebagai pejuang kemerdekaan.
Makna ‘merdeka’ yang dilekatkan pada UMNO itu terlalu kuat hingga menafikan pejuang lain yang bergerak di sebalik tabir.
Siapakah yang mencetus gagasan kemerdekaan sebelum tertubuhnya UMNO pada 1946?
Elit politik
Mustahil UMNO berjaya memperjuangkan kemerdekaan dalam masa sedekad. Tentu ada pihak yang lebih awal menanamkan kata-kata yang membawa maksud ‘merdeka’ dalam fikiran rakyat di Malaya waktu itu.
Kita yang menyeru dan sangat mengerti ‘Malaysia tanah airku’ wajar menoleh perjuangan generasi silam yang membebaskan negara daripada penjajah.
Kemerdekaan ini sudah menjangkau usia 66 tahun. Tetapi bukanlah terlalu tua untuk kita mengutip iktibar dan memberi makna yang benar pada peristiwa amat bersejarah itu.
Sejarah yang terapung sebelum ini ditulis dalam pengaruh saki baki pemikiran penjajah masih menebal.
Jadi banyaklah yang mengungkapkan perihal perjuangan golongan elit politik berbanding yang lain-lain - ulama, wartawan dan sasterawan Melayu.
Padahal pergerakan parti politik lahir lebih kurang sedekad sahaja sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Sedekad, bermula 1946 dengan tertubuhnya UMNO hingga 1957 tentunya tidak cukup untuk menyediakan prasarana spiritual dan fizikal bagi menuntut kemerdekaan.
Lalu siapa yang mengasas tapak jiwa merdeka sebelum wujudnya golongan elit politik itu?
Itulah yang terpadam daripada sejarah dan kita wajar meriwayatkan semula supaya peristiwa besar ini adil kepada semua.
Sebelum 1946, golongan ulama, wartawan dan sasterawan menyediakan pasak, tiang seri dan batu asas yang kukuh untuk mendirikan merdeka di tapaknya yang bernama Malaya.
Bagaimanapun, fragmen yang penting itu seperti tidak wujud dalam sejarah kemerdekaan.
Hal itu ada kaitan dengan kesan daripada sikap penjajah yang melabelkan sebahagian daripada ulama pejuang itu sebagai berhaluan kiri dan mendokong idealisme komunis.
Dengan label itu, penjajah seolah-olah mendapat kuasa untuk memerangi golongan yang mencetuskan huru hara di negara ini.
Malangnya label yang tidak berasas itu tidak cuba dipecahkan selepas negara tadbirkan sendiri oleh anak watan.
Sebaliknya, seperti meneruskan tanggapan serong penjajah kepada golongan pejuang yang terdiri daripada ulama, wartawan dan sasterawan.
Hal itu menunjukkan bahawa membebaskan pemikiran tertawan lebih sukar daripada memperjuangkan kemerdekaan.
Merdeka dan perjuangan ulama
Selepas merdeka, masih banyak pula yang berpemikiran seperti penjajah. Elit politik dan penguasa meneruskan sudut pandangan penjajah yang tidak adil kepada sesetengah pejuang kiri yang terdiri daripada anak bangsa sendiri.
Di luar skrip sejarah yang ditulis daripada sudut pandangan penjajah, ulama awal yang bangkit memperjuangkan kemerdekaan ialah Haji Mat Hassan Panglima Mat Munas atau Tok Janggut pada 1909 dan Haji Muhammad Yusof Ahmad atau Tok Kenali di Kelantan pada 1919.
Kemudan pada dekad 1930-an bangkit pula Haji Abdul Rahman Limbong, Sayid Abdul Rahman Sayid Muhammad al-Idrus atau Tok Ku Paloh dan Abu Bakar Baqir.
Tetapi ini hanya sebaris pendek nama ulama yang bukan sahaja guru agama malah pada masa yang sama meniupkan semangat supaya bangkit mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Mereka yang sebenarnya lebih berhak dikaitkan dengan perjuangan ‘demi agama, bangsa dan tanah air.’
Kedudukan ulama yang berpengaruh dalam sistem sosial tradisional menjadikan seruan merdeka mudah tertanam di jiwa orang Melayu.
Apatah lagi menentang penjajah itu tidak sahaja untuk mencapai kemerdekaan, akan tetapi perjuangan menegakkan syiar Islam.
Di seluruh Malaya, pemikiran orang Melayu ditanam dengan semangat sayangkan negara dan berani bangkit berjuang untuk membebaskan dua bentuk penjajahan – pertama ketenteraan penjajah, dan kedua pemikiran anak bangsa yang tertawan.
Menentang penjajah berkait rapat perjuangan menyelamatkan Islam.
Hal itu kerana penjajahan berlaku dengan tiga tujuan - agama, kuasa dan kekayaan (god, gold and glory).
British tidak hanya menjajah tetapi juga menjarah segala hasil bumi, masa yang sama menyebarkan syiar agama lain melalui sekolah yang didirikan di Malaya.
Nama-nama sekolah itu masih ada hingga sekarang walaupun sesetengahnya telah diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan.
Dulunya sekolah-sekolah ini menjadi tempat penyebaran syiar agama lain yang berlindung sebagai sebuah institusi pendidikan.
Golongan ulama amat faham akan hakikat itu dan menjadikan perjuangan kemerdekaan sebagai satu usaha menyelamatkan agama.
Bagaimanapun, hal itu tidak banyak tertulis dalam sejarah kemerdekaan kita.
Kemerdekaan mempunyai kesan langsung daripada sudut mengembangkan syiar Islam.
Tanpa kemerdekaan sudah pasti usaha sedemikian berdepan banyak halangan.
Memang benar penjajah British tidak secara terbuka menentang Islam, bagaimanapun, masa yang sama mempertingkatkan penyebaran syiar agama lain.
Salah satu pendekatan yang membatasi perkembangan Islam ialah dengan menawarkan pedidikan moden di sekolah-sekolah beragama lain di seluruh Malaya.
Memang benar dengan memasuki sekolah penjajah tidak semestinya menjadikan seseorang itu terkeluar daripada Islam.
Matlamat British tidak sahaja memberi doktinisasi agama, tetapi juga memesongkan paksi umat terhadap Islam.
Dengan kemerdekaan, perjuangan golongan ulama menjadi titik tolak penting ke arah peningkatan penghayatan nilai Islam.
Hal itu dapat dizahirkan dengan lebih bebas tanpa gangguan kuasa luar. Malah selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan.
Semua itu adalah sumbangan golongan ulama yang terpadam dalam sejarah perjuangan kemerdekaan.
Bayangkan tanpa kebangkitan golongan ulama di peringkat bawah di kampung-kampung, penjajahan kemungkinan boleh mencairkan seterusnya melenyapkan Islam seperti yang berlaku di beberapa negara yang tidak jauh dari kita.
Anak-anak semua bangsa, bangkitlah. Sebagai orang yang diasuh tahu mengenang budi, kedudukan ulama perlulah diletakkan sebaris, kalau pun tidak lebih tinggi berbanding golongan elit politik.
Sejarah kemerdekaan perlu adil kepada pejuangnya. Ini termasuklah kepada ulama, wartawan dan sasterawan yang dilabelkan ‘kiri’ dan dihukum oleh penjajah. Menulis semula sejarah kemerdekaan seharusnya menjadi iltizam kita bersama.
* Ku Seman Ku Hussain adalah wartawan bebas dan penulis buku.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.