Beliau pada hari Selasa, 10 September 2024 mula menyampaikan amanat sempena Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024.
Majlis memfokuskan kepada memahamkan penjawat awam erti dan visi reformasi perkhidmatan awam serta kerangka bagaimana reformasi ini boleh dilakukan oleh seluruh penjawat awam.
Perihal reformasi perkhidmatan awam ini bukanlah suatu pengenalan baru bagi perkhidmatan awam. Ia bermula seawal tahun 1965 lagi melalui fasa-fasa tertentu sehingga tertubuhnya Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dalam menggarab juga memacu mutu dan kemahiran perkhidmatan awam melalui pelbagai piagam dan dasar seperti Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000).
Begitu juga setiap KSN mempunyai dasar dan hala tuju tersendiri untuk menambah baik perkhidmatan awam.
Kalau Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dengan 'Tonggak 12', kalau Tan Sri Mohd Sidek Hassan dengan 'No Wrong Door Policy', kalau Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa dengan 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam', begitu juga Tan Sri Mohd Zuki Ali dengan Great Civil Service.
Kini dengan kepimpinan Shamsul Azri, beliau namakan aspirasinya sebagai 'Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam'.
Alaf ketiga
Perkhidmatan awam dalam alaf ketiga ini perlu disiap siaga dan berupaya mendepani cabaran serta memimpin pendapat rakyat.
Cabaran dunia menuju tahun 2050 sudah mulai dirasai kesannya dan begitu jugalah harapan rakyat yang semakin meningkat hari demi hari.
Dalam pada itu digitalisasi bukan lagi suatu yang baharu malah semakin rancak kepesatan perkembangannya.
Malaysia dalam gelanggang persaingan yang menuntut kecekapan kemahiran dan sewajarnya melonjak ke tahap yang dihormati pada peringkat global.
Latar belakang ini menuntut suatu pendekatan yang mencabar dan barangkali petunjuk yang lebih tegas serta ikhlas.
Maka, majlis pada 10 September adalah pertemuan yang memberi petunjuk kerana setiap kata yang terucap dari KSN mengandungi kedalaman makna, memberikan arah yang jelas serta menginspirasi hati dan fikiran
Butiran amanat ini bukan hanya rangkaian kata, tetapi pesan yang penuh harapan dan semangat untuk terus maju. Ia menggerakkan jiwa, menyatukan tekad dan memupuk kebersamaan.
Amanat yang disampaikan Shamsul Azri menekankan visi reformasi menyeluruh dalam sektor perkhidmatan awam Malaysia
Amanat ini dimulai dengan pengiktirafan terhadap kepimpinan sebelumnya. Beliau memperjelas cabaran besar yang dihadapi oleh perkhidmatan awam termasuk birokrasi yang berlebihan, kekurangan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan dan isu integriti penjawat awam dengan menawarkan solusi dalam bentuk "Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam," yang berfokus pada lima bidang keberhasilan.
Bidang itu adalah penghayatan nilai dan tatakelola, pembangunan modal insan, pembangunan organisasi, penyampaian perkhidmatan serta memperkasakan sinergi awam dan swasta.
Melalui pendekatan ini, beliau ingin mempercepat penyampaian perkhidmatan, mengoptimumkan penggunaan sumber dan menggalakkan budaya kerja yang lebih produktif.
Penggunaan akronim M.A.L.A.Y.S.I.A. dalam menggambarkan nilai-nilai penjawat awam menunjukkan visi beliau untuk membentuk satu perkhidmatan awam yang berakar pada Mesra, Adil, Luhur, Amanah, Yakin, Setia, Islah dan Arif.
Amanat ini menggambarkan hasrat besar untuk melaksanakan reformasi yang menyeluruh dan berdampak nyata, mencerminkan cita-cita tinggi beliau untuk membawa perkhidmatan awam Malaysia ke tahap yang lebih maju dan efisien.
Dari amanat ini, terdapat beberapa rumusan penting yang boleh diambil, antaranya;
1. Kepentingan reformasi berterusan
Amanat ini menekankan bahawa reformasi perkhidmatan awam adalah sesuatu yang berterusan dan perlu dijalankan untuk memastikan organisasi tetap relevan, tangkas dan mampu menghadapi cabaran masa depan.
2. Nilai integriti dan tatakelola
Kepentingan integriti dalam perkhidmatan awam menjadi teras utama dalam amanat ini. Penjawat awam diajak untuk menjunjung nilai-nilai kejujuran, amanah dan profesionalisme yang menjadi asas dalam memastikan penyampaian perkhidmatan berkualiti.
3. Tanggungjawab kepimpinan kolektif
Kepimpinan bukan hanya terletak kepada individu tertentu, tetapi setiap orang dari peringkat tertinggi sehingga terendah memiliki peranan dalam menyumbang kepada kejayaan organisasi. Konsep kepimpinan kolektif ini menunjukkan bahawa setiap individu bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.
4. Pentingnya inovasi dan pendigitalan
Amanat ini memberi pengajaran bahawa teknologi dan inovasi adalah kunci kepada kemajuan dalam penyampaian perkhidmatan. Penjawat awam perlu menyesuaikan diri dengan teknologi terkini dan mempercepat proses untuk meningkatkan daya saing negara.
5. Kesetiaan kepada negara dan prinsip kepimpinan
Penjawat awam diajak untuk mendukung prinsip kesetiaan dan taat kepada negara, selaras dengan konsep "Government of the Day." Mereka perlu berpegang pada prinsip-prinsip keadilan sosial, kesejahteraan rakyat, dan kemakmuran bersama.
6. Pentingnya penyampaian perkhidmatan yang cekap
Amanat ini juga mengajar betapa pentingnya penyampaian perkhidmatan yang cepat dan efisien. Setiap kelewatan boleh memberi kesan kepada pelanggan dan mencerminkan prestasi perkhidmatan awam secara keseluruhan.
7. Pembangunan modal insan
Peningkatan kompetensi dan kemahiran penjawat awam adalah kunci untuk memastikan perkhidmatan awam dapat memenuhi tuntutan dunia yang dinamik dan kompleks.
8. Mengutamakan Nilai-nilai Murni
Nilai-nilai seperti mesra, adil, amanah dan yakin yang terkandung dalam akronim M.A.L.A.Y.S.I.A. adalah asas kepada penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan beretika.
Secara keseluruhannya, amanat ini memberi petunjuk pentingnya transformasi, kecekapan dan komitmen terhadap nilai-nilai murni dalam memastikan perkhidmatan awam terus relevan serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
KSN juga mengajak penjawat awam untuk menerapkan keyakinan bahawa setiap dari kamu adalah pemimpin dan setiap dari kamu bertanggunggjawab atas kepimpinannya.
KSN juga menggambarkan keperkasaan penjawat awam itu ibarat 'Ke laut menjadi pulau, ke darat menjadi gunung, ke langit bersinar laksana kejora'.
Penutup majlis, tenyata KSN seorang yang rendah hati mengajak semua penjawat awam untuk bersama beliau dengan kata-kata;
"Ayuh, sederaplah dengan saya! Kita bangkit dan bersama-sama mencurahkan sehabis baik dalam ikhtiar menjayakan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.”
* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir JASA dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.