Datuk Mazupi Abdul Rahman, yang merupakan pesara pegawai kanan polis juga yakin polis sedang menjalankan siasatan secara telus dan adil berhubung kejadian yang turut mengorbankan menantunya, Fadzlenna Ramli, 32, cucunya Muhammad Umar, 2, serta besannya, Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.
"Saya juga percaya dalam kejadian ini pihak pendakwa raya akan mengambil tindakan ke atas mereka yang melakukan kesalahan hingga menyebabkan kematian lima sekeluarga ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai pengebumian kelima-lima anggota keluarganya itu di Tanah Perkuburan Bandar Baru Bangi (Sungai Tangkas) di sini malam ini.
Mazupi turut menzahirkan rasa syukur atas kehadiran ahli keluarga, jiran serta rakan-rakan sejawat arwah anak dan menantunya bagi menunaikan solat jenazah serta mendoakan pengebumian mangsa berjalan lancar.
"Walaupun sedih saya bersemangat kerana ramai yang hadir untuk mendoakan dia (Ikhwan) dan keluarga. Mudah-mudahan Allah terima doa kita semua," katanya.
Dalam pada itu, Mazupi memaklumkan bahawa dia akan ke Hospital Melaka malam ini bagi menguruskan dua lagi cucunya, Nur Sofea Humaira, 4, dan Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, yang mengalami patah paha akibat kemalangan itu.
"Saya akan ke Melaka malam ini untuk melawat dua cucu saya itu. Seorang di ICU (Unit Rawatan Rapi) dan seorang lagi di wad biasa. Kedua-duanya akan dibedah esok bagi merawat paha patah akibat terhimpit dalam kenderaan," katanya.
Dalam kemalangan pada 8.45 malam membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan MPV yang dipandu Khairul Ikhwan itu, tujuh maut manakala 33 lagi cedera.
Turut terkorban dalam kejadian itu pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya, Kempas, Johor Bahru petang tadi dan seorang penumpang bas persiaran warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan itu berpunca daripada tayar lori treler tercabut dan bas persiaran terbabit dipercayai cuba mengelak daripada melanggarnya namun terbabas lalu merempuh tiga kenderaan lain dari arah bertentangan.
-- BERNAMA