SEMAKIN hari, kita dapat melihat krisis moral dan disiplin dalam kalangan pelajar semakin meruncing. Malah, ada masanya tingkah laku negatif mereka sudah melampaui batas, yang kadang-kadang tidak terjangkau oleh akal.

Data daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), Kementerian Pendidikan (KPM) contohnya menunjukkan jumlah kes buli meningkat dari tahun 2021 hingga 2023.

Berdasarkan data, jumlah kes buli yang direkodkan pada 2021 adalah 326 kes, meningkat mendadak kepada 3,887 kes pada tahun 2022. Manakala pada tahun 2023 sehingga Oktober, jumlahnya adalah 4,994 kes.



Selain buli, ponteng kelas, bergaduh, merokok, melawan guru, vandalisme dan banyak lagi antara masalah disiplin yang sering berlaku di sekolah sama ada pada peringkat rendah mahupun menengah.

Malah sudah terdapat masalah murid dewasa kini yang boleh meruntun jiwa sesiapa yang mendengarnya. Antaranya penyalahgunaan dadah, rogol, hamil, seks bebas, bahkan ada kes yang membawa kepada kematian.

Antara kes buli melibatkan murid sekolah yang tular satu ketika dahulu.

Natijahnya, isu keruntuhan moral dan salah laku disiplin anak-anak sekolah ini sangat bercanggah dengan hasrat murni kerajaan yang mahu melihat pendidikan di Malaysia sebagai alat bagi memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI), seiring dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara. 

Apabila ia berlaku, masing-masing akan menuding jari menyalahkan satu sama lain. Ibu bapa, guru, masyarakat dan kementerian saling menyalahkan.

Lebih mengeruhkan lagi keadaan, pelajar dilihat terus tertekan sekali gus mengganggu ketenteraman emosi dan interaksi sosial, kecelaruan idea dan pegangan hidup mereka.

Sesungguhnya kita tidak menafikan usaha keras Kementerian Pendidikan untuk mendisiplinkan pelajar dan seterusnya menangani kes ini. Namun, usaha setakat ini dilihat masih menemui jalan buntu.



Pelajar kita seolah-olah terbawa-bawa dengan perasaan dan hilang kawalan diri, bersifat hedonistik dan berbangga dengan apa yang mereka lakukan.

Di sebalik pelbagai alasan yang diberi atau kononnya berselindung di sebalik sosiologi pendidikan, pendapat peribadi penulis menyatakan masalah disiplin melampau anak sekolah berlaku akibat hakisan 'budaya autokratik' sekolah.

Budaya autokratik yang pada suatu masa dahulu dilihat sebagai tunjang kekuatan dan peradaban sekolah kini sudahpun pudar dan hilang taringnya. 

Lantaran itu, sekolah dilihat gagal memainkan peranan sebagai sebuah institusi, penitipan budaya, nilai dan ilmu bagi para pelajar.

Hakikatnya, sekolah adalah sebuah masyarakat makro dan harus mempunyai ciri-ciri tertentu yang perlu ada seperti kepelbagaian hukuman.

Maka di dalam mencari jalan penyelesaian, kita perlu mengambilnya dari keadaan diri yang penuh insaf, matang dan tidak dikuasai oleh ketakutan yang boleh melumpuhkan dan boleh membuat kita tenat.



Pertamanya, kembalikan hukuman rotan kerana ia merupakan cara yang efektif dalam membentuk disiplin murid.

Surat Pekeliling Ikhtisas bil. 7/2003 telah menyatakan kesalahan-kesalahan yang dibenarkan hukuman rotan iaitu seperti melakukan pergaduhan atau kekerasan.

Berdasarkan contoh kesalahan ini, hukuman rotan adalah relevan dilaksanakan dengan bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada murid tentang kesalahan yang dilakukannya.

Dengan adanya pelaksanaan hukuman rotan yang mendatangkan kesakitan dan kesan fizikal, ia akan menimbulkan rasa takut kepada murid untuk mengulangi perbuatan yang menyalahi peraturan disiplin sekolah.

Oleh itu, dengan pelaksanaan hukuman rotan, ia akan memupuk rasa sedar dan dapat mengurangkan kekerapan masalah disiplin yang timbul.

Ia juga akan membantu guru untuk memberi kesedaran kepada murid yang terus mengulangi sesuatu perbuatan berulang kali walaupun telah diberi amaran.



Timbang tara apabila tiada pelaksanaan hukuman rotan di sekolah pula menunjukkan, masalah disiplin hanya dapat diatasi dengan cara psikologi dan kaunseling.

Penarikan balik hukuman rotan di sekolah telah membuka ruang kepada murid untuk lebih berani bertindak memandangkan risiko untuk dihukum rotan adalah tipis.

Realitinya, sifat semula jadi kanak-kanak adalah untuk belajar melalui pengalaman dengan kaedah mencuba sesuatu yang baharu telah mendorong mereka melakukan sesuatu perkara tanpa perasaan takut akan akibatnya kerana tiada hukuman berbentuk fizikal yang akan diterima.

Kedua, tindakan buang sekolah perlu dikekalkan dan masih relevan diguna pakai terhadap pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

Pihak kementerian sebenarnya tidak mempunyai kemampuan mengawal dan memulihkan akhlak murid atau pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius termasuk penyalahgunaan dadah dan gangsterisme.

Kebanyakan guru hanya terlatih dalam bidang akademik memfokuskan Pengajaran dan Pembelajaran dan kehadiran pelajar yang berprofil tinggi dalam kes juvana sememangnya mengundang polemik kurang senang dalam kalangan murid lain.

Mereka yang ditatang oleh ibu bapa akan bersikap mua, naik tocang, dan tidak takut untuk melakukan kesalahan demi kesalahan. 



Maka, kes pelajar yang mempunyai masalah disiplin berat sehingga dibuang sekolah seharusnya dilihat sebagai satu kes kebajikan bagi pelajar berkenaan.

Mereka perlu dihantar ke pusat pemulihan akhlak termasuk Asrama Akhlak, Sekolah Tunas Bakti, dan Sekolah Henry Gurney yang diharap dapat membentuk semula sahsiah diri dan akhirnya boleh diterima oleh masyarakat.

Saranan terakhir, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meletakkan anggotanya di sekolah, terutamanya yang bermasalah.

Selain memastikan keselamatan dan disiplin murid lebih terjamin, langkah itu dirasakan berkesan kerana polis mempunyai kefahaman khusus dan latihan dalam menangani isu-isu seperti vandalisme, jenayah, penyalahgunaan dadah, dan ancaman keselamatan lain.

Kolaborasi dua badan ini diharap memberi kesedaran mengenai pencegahan jenayah melalui pelbagai pendekatan seperti aktiviti ceramah, kempen serta pameran pencegahan jenayah bagi menyemai perasaan negatif dan benci kepada mereka yang melanggar undang-undang

Dengan kehadiran anggota polis beruniform, pelajar yang suka mendatangkan masalah akan berasa cuak untuk bersikap nakal. Bagi pelajar lain pula, mereka akan berasa berada di zon kawasan selamat.



Menutup tirai perbincangan ini, pelaksanaan hukuman yang keras wajar dilaksanakan di sekolah memandangkan terdapat kes-kes disiplin yang menyalahi kesalahan berat dan menuntut pihak sekolah untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal dan dapat memberikan kesedaran kepada murid yang melakukan kesalahan.

Ibarat gajah dan harimau di hutan hendak diburu, pijat-pijat di bantal tak dapat dihapuskan, peranan ibu bapa juga tidak terkecuali.

Mereka harus bijak berkolaborasi dengan semua pihak dalam mempelbagai perancangan yang dilaksanakan oleh pihak sekolah, agar masalah yang telah lama menjadi duri dalam daging ini akan dapat diselesaikan dengan saksama.

Seterusnya, impian sekolah untuk melahirkan insan dan anak-anak yang berguna dapat direalisasikan tanpa sebarang halangan.



Wan Nurhafeza Wan Salam dan Abdul Mutalib Embong adalah pensyarah dari RIG 4 (Kelestarian Hidup), Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.