Ini berikutan negara-negara Eropah, Timur Tengah, Afrika, Asia dan Asia Tenggara akan mencerap anak bulan pada hari Khamis ini.
Hanya negara Pakistan dan Bangladesh akan mencerap anak bulan pada Jumaat (21 April 2023).
Ini berikutan daripada dua buah negara tersebut berpuasa lewat sehari berbanding kebanyakan negara mengikut Pusat Astronomi Dunia yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Justeru, tarikh permulaan puasa akan menentukan tarikh melihat anak bulan sama ada Khamis (20 April 2023) atau Jumaat (21 April 2023).
Menurut Profesor Dr Nidhal Guessoum, Profesor Astronomi di Universiti Amerika-Sharjah Emiriah Arab Bersatu, anak bulan telah berada di atas ufuk di kebanyakan negara di seluruh dunia pada hari mencerap nanti.
Namun begitu, secara astronomi, terdapat negara yang berkemungkinan anak bulan kelihatan atau sebaliknya.
Negara-negara seperti Amerika Syarikat berkemungkinan berpeluang melihat anak bulan sama ada dengan mata kasar mahupun dengan peralatan optik seperti teleskop.
Negara-negara Barat Afrika seperti Mauritania dan Senegal pula berkemungkinan untuk melihat anak bulan hanya dengan menggunakan peralatan optik sahaja seperti teleskop.
Justeru, terdapat negara-negara Arab-Islam akan mengumumkan Jumaat (21 April 2023) sebagai 1 Syawal.
Walaupun begitu, beliau berpendapat negara Oman dan Morocco mungkin akan memulakan lebaran pada Sabtu (22 April 2023).
Ini kerana dua negara tersebut mengamalkan rukyah yang ketat dalam menentukan tarikh lebaran.
Dalam pada itu, menurut beliau, negara seperti Malaysia dan Indonesia pula kedudukan anak bulan telah berada di atas ufuk.
Namun, anak bulan di Indonesia dan Malaysia kemungkinan tidak kelihatan sama ada dengan menggunakan mata kasar atau peralatan optik.
Sementara itu, menurut Shawkat Audah, Ketua Pusat Astronomi Dunia itu, anak bulan tidak memenuhi kriteria kemungkinan untuk dilihat dengan mata kasar di seluruh negara Islam-Arab.
Hanya beberapa Arab-Islam seperti negara Afrika Barat-Libya berkemungkinan anak bulan kelihatan dengan menggunakan peralatan optik.
Peluang di negara tersebut sukar dan memerlukan kepakaran dalam mengendalikan teleskop dan cuaca yang baik.
Oleh demikian, beliau menyimpulkan anak bulan sukar untuk dilihat di negara-negara Arab-Islam.
Namun begitu, menurut Shawkat Audah berdasarkan pengakuan saksi melihat anak bulan, beliau menjangkakan ada beberapa negara yang akan mengmumkan tarikh Hari Raya Aidilfitri akan jatuh pada hari Jumaat (21 April 2023).
Shawkat Audah telah menerbitkan satu kriteria kemungkinan kenampakan anak bulan di dalam jurnal Experimental Astronomy.
Melalui rekod cerapan 737 data kenampakan anak bulan, beliau mengklasifikasikan kriteria kemungkinan anak bulan untuk kelihatan kepada beberapa kategori.
Pertama, kemungkinan anak bulan kelihatan dengan mengunakan peralatan optik seperti teleskop.
Kedua, kemungkinan anak bulan kelihatan dengan mengunakan mata kasar dan peralatan optik.
Ketiga, kemungkinan anak bulan tidak kelihatan sama ada dengan menggunakan mata kasar atau peralatan optik.
Melalui data kedudukan anak bulan, Shawkat Audah dan Nidhal Guessoum mengunakan rujukan yang sama untuk mengetahui kebarangkalian anak bulan boleh kelihatan di sesuatu tempat atau sebaliknya.
Secara umumnya, negara-negara yang berada di sebelah barat berpeluang melihat anak bulan lebih tinggi berbanding negara yang terletak di sebelah timur.
Ini kerana bentuk sabit bulan dan kedudukan bulan lebih tinggi di atas ufuk dan lebih besar bagi negara di sebelah barat berbanding negara di sebelah timur semasa hari mencerap anak bulan.
Anak bulan di Malaysia telah berada di atas ufuk mengikut kepada kriteria yang dirujuk oleh Pusat Astronomi Dunia itu.
Namun, ia tidak memenuhi kriteria kemungkinan anak bulan untuk kelihatan sama ada dengan menggunakan mata kasar atau peralatan optik.
Sementara itu, Malaysia mengamalkan rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkanurukyah (kemungkinan untuk kelihatan) MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura).
Kriteria MABIMS iaitu: “Ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang 3 darjah dan jarak lengkung bulan dan matahari (elongasi) tidak kurang dari 6.4 darjah”.
Melalui data hitungan rasmi di Malaysia telah dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) anak bulan tidak memenuhi kriteria tersebut.
Oleh demikian, keputusan rukyah di 29 tempat cerapan rasmi akan menentukan Malaysia akan menyambut lebaran pada Jumaat atau Sabtu.
Pengumuman rasmi akan dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Justeru, marilah kita menghormati proses yang ditetapkan oleh Majlis Raja-Raja.
Tidak perlu kita terpengaruh dengan penetapan keputusan tarikh hari raya negara luar.
* Penulis merupakan Profesor Madya di Program Astronomi Islam, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan boleh dihubungi di saifulanwar@um.edu.my.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.