Pada 2006, Amin antara puluhan anak pelacur yang bersepah di depan KFC Jalan Chow Kit. Era beyblade baru diperkenal. Gasing putar dengan lampu warna-warni kegilaan kanak-kanak.
Sudut gelap di pintu masuk Jalan Medan Tuanku dipenuhi kumpulan kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun. Lelaki dan perempuan.
Suara riuh mereka bermain kedengaran mulai jam 9 malam hingga 4 pagi.
Siapa mereka?
Itulah kumpulan anak-anak pelacur. Waktu itu, aktivis Raja Abdullah belum menubuhkan pusat jagaan anak-anak pelacur.
Tanpa pengawasan sesiapa, Amin dan kawan-kawannya akan bermain sepanjang malam ketika ibu mereka sibuk menjual tubuh.
"Ibu di mana?" Tanya saya.
"Melacur," jawab Amin separuh berbisik dan mulutnya muncung.
Reaksi separuh berbisik dan mimik mukanya menggambarkan karektor seorang kanak-kanak yang dipengaruhi pergaulan dengan pelacur-pelacur tua. Amin dibesarkan begitu.
"Selalu pukul 10 malam saya di sini. Main dengan kawan-kawan. Ibu melacur sampai 4 pagi," katanya.
Aktivis kanak-kanak, Raja Abdullah akhirnya mengambil inisiatif. Pada 2007, bekas penagih dadah ini menyewa ruang kecil di Belakang Mati dan dijadikan pusat jagaan anak-anak pelacur.
Raja Abdullah orangnya tenang. Bekas guru dan pernah dipenjarakan. Setelah dibebaskan, dia memilih tanggungjawab untuk menjaga Amin dan kawan-kawannya.
Satu tugas sukar kerana anak-anak ini tidak bersekolah.
Lebih teruk, mereka membesar dengan melihat dunia dari pengaruh seorang ibu yang melacur dan penagih dadah. Malah, kerap sejak kecil kerap terpisah. Ibunya sering keluar masuk penjara atau pusat pemulihan.
Pertemuan pertama dengan Amin segera jadi mesra. Kami berjalan dari Medan Tuanku ke Belakang Mati. Sepanjang berjalan kami berbual.
"Kenapa main tepi KFC?" Tanya saya.
"Tak boleh masuk dalam lorong. Ibu marah. Lorong gelap sana tempat ibu melacur," jawabnya.
Lorong gelap yang dimaksudkan Amin ialah jalan di belakang deretan pub Medan Tuanku.
Lorong tanpa tiang lampu dan sentiasa berbau busuk. Di celah-celah kegelapan itulah, pelacur dan pelanggan berunding; antara wang dan nafsu.
*Bertemu Raja Abdullah
"Berapa harga langganan pelacur macam emak si Amin?" Tanya saya pada Raja Abdullah.
Setelah keluar penjara, Raja Abdullah menjadi aktivis pemulihan dadah. Namun, berubah haluan dengan menjadi penjaga anak-anak pelacur ketika ibu mereka menjaja tubuh mencari wang.
"RM10 hingga RM20," kata Raja Abdullah.
"Murahnya...," kata saya.
"Semua dah tua. Siapa nak bayar lebih. Pelanggan pun sama-sama penagih."
Penjelasan Raja Abdullah membuatkan saya berasa hampir pitam.
Namun, mengenali Raja Abdullah antara detik hebat dalam hidup saya. Sikapnya yang tenang serta komitmennya menjaga anak-anak pelacur tidak mungkin dilakukan manusia biasa.
Raja Abdullah bekas guru. Sekali gus bekas penagih dan bekas banduan. Berkenalan dengan veteran bekas penagih tegar Chow Kit ini, sangat memberikan aspirasi.
"Ada pelacur muda berusia 29 tahun. Kena HIV dan sekarang sakit tenat. Kata doktor, peluang hidupnya tiga atau empat bulan lagi," cerita Raja Abdullah.
Sekelip mata, saya nekad untuk menerbitkan dokumentari kisah seorang gadis HIV.
*Pelacur minta belanja dadah
Ketika menerbitkan dokumentari Ina Gadis HIV pada 2006, saya bersama Syirfan sempat bergaul rapat dengan pelacur Chow Kit.
Raja Abdullah sangat membantu dengan memberikan konteks dan akses di pelbagai kawasan "gelap".
Melalui Raja Abdullah - saya diperkenalkan kepada Afida Abdul Latif; aktivis sosial yang mengendalikan rumah singgah untuk pelacur yang mahu berhenti ketagihan dadah.
Rumah kecil Afida terletak di Jalan Raja Bot dan ada tiga atau empat pelacur menumpang.
Mereka penagih tegar yang cuba memulihkan diri.
"Tak mudah pelacur meninggalkan dadah setelah puluhan tahun terbabit dengan heroin. Itu sebab mereka melacur dan duit dihabiskan beli dadah," kata Afida.
Melalui Afida saya menerima akses luas untuk memasuki zon gelap Belakang Mati. Malah, berjaya berunding dengan gengster yang mengawal bisnes dunia jalang di Jalan Haji Taib.
"Kau boleh shooting, tapi dua jam saja. Sini kami cari makan. Ada kamera nanti pelanggan tak berani masuk cari pelacur," kata gengster yang tubuhnya kurus kering.
Saya yakin gengster ini juga penagih dadah. Barangkali juga bapa ayam. Namun, jangan sesekali diperlekeh atau dipandang rendah.
Orang yang bergelumang hidup dalam dunia Belakang Mati bukan sembarangan. Setakat istilah 'bunuh bawa mati' hanyalah satu permainan biasa.
Pelacur di Belakang Mati lebih terurus berbanding nasib ibu Amin di lorong gelap Medan Tuanku. Ibu Amin kategori veteran dan berusia lebih 50 tahun.
Di Belakang Mati, hotel murah menyediakan pelacur lebih muda. Namun, majoritinya juga penagih dadah.
Dalam satu scene penting, Afida mengumpulkan berbelas pelacur.
Selain Ina yang sudah tidak berdaya kerana penyakit HIV, saya dan Syirfan berkenalan dengan pelacur-pelacur yang havoc.
Majoritinya melacur sejak remaja dan terbelit dengan penagihan dadah.
"Kalau bayar kami RM100 seorang, kami OK. Tapi sejam saja. Kalau lebih waktu kami akan minta tambah bayaran," kata ibu Amin.
Memandangkan dokumentari ini mahu merakamkan realiti pelacur, Afida membantu mengumpulkan pelacur tua Medan Tuanku dan pelacur di Belakang Mati.
Apabila semua berkumpul, mereka seperti satu keluarga. Saling kenal dan sangat sepakat.
"Itu RM100 seorang tak termasuk duit dadah. Kau kena belanja kami. Tak ada dadah, kami tak boleh berlakon," kata ibu Amin.
Saya ikut saja. Dokumentari arahan Syirfan ini penting. Kami mahu merakamkan realiti pelacuran dan penagihan dadah di Chow Kit.
Cuma watak utama ialah Ina. Gadis HIV yang sudah parah.
(Empat tahun selepas dokumentari ini siap Ina meninggal dunia.
*Di mana Amin selepas 13 tahun?
Sejak 2010, saya kerap kembali merayau di Belakang Mati. Jalanan yang penuh memori. Ketika itu, lorong gelap di Medan Tuanku sudah bersih. Tiada lagi pelacur. Hotel murah sekitar Belakang Mati juga sudah ditutup.
Saya mencari Amin anak pelacur. Selain kegilaan saya menikmati mi sup Minang yang klasik kerana masih menggunakan kereta sorong.
Belakang Mati lokasi memori penuh airmata. Di sini tempat saya kerap belanja Amin dan anak-anak pelacur menikmati mi sup Minang.
Sambil duduk di bangku kayu, mata saya liar mencari Amin. Saya banyak kenalan penjual baju pakaian terpakai dan pengedar dadah. Namun, tiada yang kenal Amin. Hinggalah pada tahun 2012, ketika sedang berjalan mundar-mandir di Jalan Haji Taib, seorang remaja lelaki menegur saya.
"Lama tak nampak pak cik?" Sapanya.
Itu Amin. Dia sudah besar dan gempal tubuhnya. Enam tahun berlalu, dia masih kenal saya. Cuma, saya yang terkedu.
Rambutnya pendek dan pakaiannya kemas. Amin mengenakan sehelai jeans dan t-shirt warna putih. Wajahnya berpeluh dan nampak berminyak.
"Jom makan mi sup," pelawa saya.
Dia tersenyum. Melihat peluhnya berminyak dan matanya buntang, saya sudah tahu.
"Kau tolak ais kah?" Tanya saya.
Dia tersenyum dan langsung tidak gelabah.
"Apa lagi nak buat pak cik. Sini senang tolak ais."
"Mak kamu mana?" Tanya saya.
"Masuk penjara," jawabnya selamba.
Saya terdiam dan hanya memandang saja. Pada usia 16 tahun, tanpa pendidikan dan membesar di jalanan, 'tolak ais' satu kerja mudah. Cuma, perbuatan itu sangat menyedihkan bagi saya. "Saya kena pergi dulu, ada orang tunggu," kata Amin.
Saya hanya terdiam dan Amin berlalu pergi. Menyusur jalan di celah-celah pasar pakaian terpakai. Akhirnya melenyap pergi.
Sejak itu saya tidak pernah lagi bertemu Amin. Ingatan padanya kekal menjadi kenangan yang menyedihkan.
Pada saya, kitaran ganas dunia gelap akan terus mencerut manusia. Amin anak pelacur adalah kesan kehidupan ngeri 13 tahun lalu. Kini puluhan kanak-kanak terus bergelumang di sekitar Chow Kit. Cuma versinya berbeza.
Amin asal anak pelacur. Sejarah itu sudah berlalu. Sekarang yang berkeliaran di laluan tempat Amin pernah membesar, ialah anak-anak miskin bandar. Mereka muncul saban malam mencari bantuan makanan.
*Tolak ais ialah kata slanga jalanan bagi aktiviti menjual dadah methaphatamin atau lebih dikenali sebagai syabu.
* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain. Zainal Rashid Ahmad juga pernah memenangi 38 hadiah sastera.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.