PENULIS datang dan pergi. Sama ada datang menumpang sekaki mencari glamor dan pergi meninggalkan kerja menulis setelah gagal mendapat manfaat - itu hakikat lain.
Apa yang sebenarnya mahu dihargai dalam kisah 'datang dan pergi' ini, ialah sumbangan dan perjuangan penulis yang sudah meninggalkan kita.
Dua nama ini antara nama-nama penulis hebat yang memberikan sumbangan besar pada rak ilmu sastera Malaysia.
Sampai waktu, mereka pergi melengkapkan takdir kehidupan. Tiap yang hidup pasti mati.
Saya mengenang dua rakan penulis. Antara yang meninggalkan kita pada alaf 21. Mereka selalu ada dalam ingatan sebagai penulis yang berjasa pada dunia sastera.
Cuma, saya bukan sarjana. Tulisan ini hanya catatan memori. Membicarakan dua nama ini sebagai sosok manusia yang sempat dikenali.
Malah, sempat menjadi sahabat baik dan melalui pengalaman indah yang sukar dilupakan.
Niat saya jelas - memperkenalkan dua sosok sebagai manusia seadanya. Apabila kita membaca karyanya, ia terasa seperti membaca personalitinya.
Saya berharap, sumbangan mereka tidak dilupakan. Semoga generasi sekarang dan masa depan, terus membaca karya-karya hebat dua penulis ini.
Azizi Haji Abdullah
(4 April 1942- 21 Ogos 2011)
Biodata dan senarai karya Azizi boleh saja diperoleh sekelip mata dengan merujuk Mr Google.
Saya tidak dapat menghabiskan ruang ini untuk menyenaraikan semula copy paste internet.
Azizi dalam kisah ini - dikenang dalam perspektif lain yang lebih humanis. Barangkali juga sebagai lelaki kebapaan yang polos tapi romantis.
Membaca karya-karya Azizi sangat tebal nilai kemanusiaannya. Wacana sosial dan politik saling berinteraksi dalam tebal dan nipis ideologi penulis ini.
Azizi seperti idolanya, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad - karya yang sangat berteraskan masyarakat desa. Itu runut sastera mereka.
Selain menulis, seperti Shahnon, Azizi juga pernah menyertai parti siasat dan bertanding pilihanraya.
Novel Seorang Tua di Kaki Gunung (1981), Al Asyraq (1987), Yang Merusuh (1991), Beruk (1991) dan Kawin-kawin (2002) memperlihatkan sikap kesasterawanan Azizi.
Itu lima daripada 37 buah novel yang ditulis Azizi sejak 1968.
Namun, kritik politik menjadi pilihan Azizi dalam banyak novelnya pada dekad 90an. Apabila suara politik dalam kesusasteraan Malaysia semakin melemah, Azizi melangkah masuk ke platform politik kepartian.
Azizi punya sisi karektor yang penuh warna-warni. Secara karya - dia penulis kampung yang lantang. Secara manusia - dia polos dan sangat berterus-terang.
Suara sasteranya sangat tipikal dan konservatif. Nilai Islam pula sangat ketara dalam karya-karyanya.
Namun, jangan abaikan satira dan sarkastiknya seorang Azizi. Pada masa sama, dia juga humanis dan romantik dalam cerpen-cerpen popularnya.
Secara keseluruhan, Azizi, penulis kelahiran Kota Kuala Muda ini, totok mendokong agenda sastera untuk masyarakat. Sesuatu yang turut terpancar dalam 11 antologi cerpennya.
Karyanya dipenuhi kritik sosial dan refleksi politik. Dipenuhi watak-watak manusia desa seperti dirinya sendiri.
Azizi kekal menghantar isyarat biasa secara konvensional. Dia tidak peduli pada hiruk-pikuk eksperimental dan perubahan gaya sastera dekad 70-an hingga 90-an.
Sastera nafas masyarakat
Berbalik pada Azizi yang saya kenal secara personal. Tentulah saya melihatnya sebagai orang yang hebat. Kami hanya kenal di Jakarta dan melalui empat hari yang menyeronokkan di Bogor pada 2002.
Itulah pertemuan kali pertama dan terakhir.
"Apa pun kau buat, pastikan keutamaan ialah membela orang susah," katanya.
Itu ucapan terakhir sebelum kami berpisah. Pesanan di Lapangan Terbang Subang setelah mendarat dari Jakarta.
Azizi pembimbing saya ketika mewakili Malaysia ke Pertemuan Mastera 2002. Kami bertolak dalam penerbangan berbeza, tetapi bertemu apabila diberikan bilik bersebelahan di Institut Pertanian Bogor.
Seterusnya, banyak kenangan tercipta. Setelah bosan pada sesi pembentangan karya yang memperkenalkan semua peserta Mastera, kami nekad untuk tidak menghadiri sesi seterusnya.
"Mengarut perbincangan sastera eksperimental. Merapu dengan teori-teori tidak berpijak di bumi nyata," kata Azizi.
Pada sesi pertama Mastera, Azizi sebagai panel telah mengkritik karya-karya-karya eksperimen saya. Kritikan terbuka dan di depan khalayak Mastera:
"Saya tidak faham kenapa seekor kucing harus mengembara pada Aidil Fitri? Apa pentingnya kisah pelik seekor kucing ketika hidup manusia dirumitkan kemiskinan dan penindasan!," katanya.
Azizi mengkritik cerpen saya al Kisah Kucing Aidil Fitri. Dibelasahnya cukup-cukup secara lantang dan terus-terang. Nadanya selamba. Azizi juga memperlekeh tujuh cerpen saya yang dibentangkannya sebagai penilai.
Sesuatu yang berbeza dengan pembimbing lain yang menjulang tinggi karya peserta negara masing-masing.
Hahaha.
Saya langsung tidak ambil hati. Malah, sampai sekarang saya anggap: kata-kata Azizi benar belaka.
Kami jadi akrab selepas sesi pengenalan panel dan peserta. Sebaik saja habis sesi yang hampir tiga jam itu, kami bersetuju - Mastera membosankan.
Kami nekad untuk ponteng enam atau tujuh lagi sesi seterusnya. Maka bermulalah 'road movie' - kami menghabiskan tiga hari sebagai delegasi Malaysia yang ponteng sesi Mastera.
Kami meronda liar di sekitar Bogor. Kami abaikan sesi yang dikendalikan dua wakil tuan rumah - Danarto dan Hamsad Rangkuti.
Azizi dan saya lebih tertarik merayau mengitari Bogor dan melihat kehidupan harian masyarakat marhaen di pekan kecil di kaki puncak. Malah, berjalan jungkir-balik tanpa arah dan keluar masuk warung kopi serta gerai bakso.
Kami berputar di jalan dan lorong yang padat dengan manusia sambil melihat penjaja menjual lukisan catan ikan koi. Atau, membelek-belek segala macam kraftangan kayu yang kecil dan murah.
Azizi seperti bapa yang asal OK saja. Itu tipa khusus personalitinya sepanjang kami menghabiskan waktu di Bogor.
Setiap pagi, setelah bengkel bermula dan pembimbing serta peserta masuk ke dewan, saya akan menyelinap ke kamarnya.
Setelah Azizi selesai menunaikan solat duha, kami akan menyusup keluar melalui pintu utama dan meninggalkan kawasan Institut Pertanian Bogor, lokasi program Mastera 2002.
"Jom pi pekan, kita pekena kopi dan jamu mata," katanya.
Jurang umur kami 25 tahun dan prestij Azizi sebagai sasterawan hebat tidak memungkinkan saya melihatnya sebagai kawan. Walaupun Azizi sangat berusaha menghapuskan jurang itu.
Cuma, ada persamaan lain yang mendekatkan kami. Walaupun perjalanan ini kali pertama kami bertemu secara empat mata.
Kami terikat kecenderungan lain. Kami lebih suka bergulat dengan dunia marhaen. Azizi budak penjual akhbar ketika kecil. Saya pula buruh penjual buah sejak di sekolah rendah.
Kami lebih menikmati sesi meronda dan melihat kehidupan manusia bawahan. Realiti di Bogor yang dipenuhi kehidupan marhaen, pastinya turut menghidupkan memori masa kecil.
"Aku dapat banyak duit kalau Muhamad Ali bertinju. Orang tunggu surat khabar depan pintu pagar nak baca beritanya," kata Azizi menceritakan dunia masa kecilnya.
Kami berbual di warung catuk tepi jalan di pinggir pekan Bogor.
"Aku akan diberikan lebih banyak akhbar untuk dijual sebab berita Muhammad Ali sentiasa laku," katanya.
Sejak itu saya tahu - sejak kecil Azizi menyara diri dan membantu keluarga sebagai penjual akhbar. Malah, mendapat tips proses kreatifnya.
Azizi menyewal hotel murah selama berminggu-minggu untuk menyiapkan novelnya. Kalau menulis, dunianya tidak boleh diganggu.
Selain itu, Azizi bukan penggosip. Saya hanya mendengar sejarah masa lalu dan bukan celaan terhadap sesiapa. Si polos ini sangat menjaga lidahnya.
Azizi waktu itu sudah meninggalkan politik. Namun, suara kritisnya masih kekal tajam sebagai aktivis sosial dan wartawan/editor akhbar Utusan Pengguna, suara cetak Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Saya pula penerbit Edisi Siasat. Program kewartawanan yang kontroversi dengan tagline: "Apa kejadahnya ini semua."
Barangkali kerana dunia kesusasteraan waktu itu sangat tepu, ia melunturkan minat untuk berbual soal sastera.
Selama empat hari di Bogor dan Jakarta, kami cenderung berbual mengenai pemikiran Azizi sebagai aktivis CAP.
Kami bertukar pandangan dan maklumat mengenai krisis rasuah dan penyebalan dalam penguatkuasaan undang-undang jenayah judi dan maksiat.
Kami beranggapan, korupsi menyusup ke jurang bahaya apabila pihak berkuasa diperlekehkan.
Sindiket pelacuran dan taukeh mesin perjudian hidup mewah dan kelihatan bebas beroperasi.
18 tahun lalu; namun semua momen selama empat hari bersama Azizi kejap melekat dalam ingatan.
Meronda ceruk kampung di Bogor
"Jom kita masuk ceruk kampung dan hang teman aku. Aku nak tengok kehidupan orang miskin di sini," kata Azizi.
Kami sama-sama orang Kedah. Cakap utara yang pekat meneggelamkan dialek Bogor yang lembut.
Ketika melangkah ke luar warung untuk mengatur perjalanan meredah kampung-kampung di kaki puncak Bogor, Azizi tiba-tiba menghentikan langkah.
"Belilah," kata seorang lelaki tua.
Azizi berdiri tegak terpacak. Lelaki penjual lukisan dan kraftangan kayu kecil berbentuk ikan koi mendekatinya.
"Belilah... ongkosnya bantu saya beli baju sekolah untuk cucu," kata penjual.
Saya sudah ghalib dan kalis dengan ayat-ayat begini. Tapi Azizi segera berhenti dan membelek-belek lukisan. Saya nampak dia sangat terkesan dengan rayuan penjual itu.
Azizi memilih enam keping lukisan ikan koi. Lukisan yang subjeknya sama. Gambar sekumpulan ikan berenang di kolam.
Setelah membayarnya, kami melangkah pergi. Niat mahu menyelinap sebuah lorong kecil yang dikaitkan dengan 'dunia gebu wanita Bogor'.
Hahaha.
Hari seterusnya kami merayau lagi. Selesai sarapan, kami terus meronda. Menikmati hidup di Bogor. Program Mastera sudah luput daripada ingatan.
Kami ke Bogor dengan menumpang sebuah kenderaan. Tiada rasa bersalah. Malah, kami sangat bergembira.
Tiba di depan kedai pakaian, Azizi terhenti dan nampak matanya terpaku. Ada anak gadis sunti menangis. Kelihatan lelaki penjual lukisan sedang memujuknya. Seorang budak lelaki juga berdiri di situ.
"Kenapa dia menangis?" Tanya Azizi.
Itulah momen kenangan. Momen yang sentiasa menghidupkan Azizi dalam ingatan saya. Di balik wataknya yang hoha hoha dan polos, Azizi punya sisi lembut sebagai manusia.
"Wang hanya cukup beli pakaian adiknya. Jadi, dia menangis," kata penjual lukisan.
Azizi menyeluk saku seluar; menghulurkan wang yang lumayan jumlahnya. Azizi melangkah tanpa banyak bicara.
Kami meneruskan hari-hari ceria dan menyelinap hitam putih pekan dan kampung serta lorong-lorong hangat di Bogor.
Begitulah hidup kami berdua sepanjang berada di Bogor sebagai deligasi Mastera. Sentiasa merayau dan keluar masuk warung kopi. Menikmati hitam putih kehidupan di pekan yang berserabut ini.
Cuma, sesekali apabila singgah di warung kopi; Azizi mengukuhkan doktrin nasihatnya.
"Cerpen kau teruk. Ini komen aku. Ikhlas," katanya.
Saya anggukkan kepala.
"Eksperimental ini tak salah. Tapi isi kena ada. Penulis kena ada sikap terhadap masyarakat. Itu tanggungjawab sastera," katanya.
Saya mendengar syarahnya sambil nikmati bakso di tepi jalan di kaki Bogor. Ceramah ini bukan aneh. Azizi punya sikap dengan sama dengan gurunya, Shahnon.
Saya tiada masalah mendengar komennya. Dia sasterawan besar dan saya budak baru belajar.
Banyak kisah indah dan nakal kami lalui. Kisah nakal biarlah kekal jadi kenangan antara saya dan Azizi sahaja.
Perjalanan ke Bogor dan Jakarta pun berakhir. Kami pulang ke Kuala Lumpur.
Sebelum berpisah di Lapangan Terbang Subang, kami bercakap mengenai Utusan Pengguna CAP, ahkbar bulanan yang dikendalikan Azizi.
CAP pada era itu dikenali sebagai NGO yang bersuara lantang dan tidak mesra kerajaan. CAP dianggap NGO pembangkang.
"Teruskan benda-benda yang baik untuk masyarakat. Itu tanggungjawab kita," katanya ketika kami bersalaman.
Sekitar 12 tahun kemudian, Azizi meninggal dunia. Pada saya, si polos ini telah menyelesaikan tugasnya dengan baik. Walaupun sosoknya kerap disisihkan kerana pendirian politik yang berbeza.
Orang celik akal seperti Azizi tidak akan ralat dengan layanan sepele jenis apa pun. Pada tahap dia sudah menemukan jalan hidup dan sikap kesasterawanannya, Azizi berpegang pada matlamat menulis. Dia bukan pembulur anugerah.
Walaupun menerima Anugerah Penulisan SEA (1988), banyak insiden pahit dialaminya. Terutama pelayanan dan pelekehan dalam sastera kerana pendirian politiknya.
Artikel ini cuba memperkenalkan semula Azizi kepada generasi milenium.
Moga menginspirasikan anda pada sosok Azizi. Sekaligus, mendekati karya-karyanya.
Juga dengan peringatan kepada penulis muda: Banyak penulis hebat tidak mabuk pada 'lime light" sastera.
Mulakan dengan membaca novel Seorang Tua di Kaki Gunung. Anda mungkin mengenali Azizi melalui karya-karyanya.
T Alias Taib
(20 Februari 1943 - 17 Ogos 2004)
Kami lalui hari-hari yang penuh dengan gebang sastera dan wanita, namun sikap baiknya yang mengaspirasikan saya.
T. Alias Taib penyair pertama mengajar saya; "Kata-kata dalam puisi mesti mampu memberikan imaginasi. Walaupun hanya kata-kata, puisi ialah foto yang bergerak dalam minda pembaca...."
Sekitar tahun 1987 hingga 1990, pada tahun-tahun awal kami berkenalan di Pasar Budaya Kuala Lumpur - Pak Engku sudah pun dikenali sebagai penyair sohor Malaysia.
Pada waktu itu, Pak Engku sudah melahirkan antologi puisi Laut Tak Biru Di Seberang Takir (1972), Pemburu Kota (1978), Seberkas Kunci (1985), Opera (1988) dan Piramid (1990).
Pak Engku akan keluar melepak setiap Sabtu dan Ahad. Kalau hujung bulan, lelaki kurus berambut ketak dan suka tersenyum ini akan muncul dengan kedua-dua tangannya menjinjing beg plastik yang dipenuhi buku-buku.
Dia memang pembaca tegar. Minatnya sangat luar biasa pada buku-buku sastera Inggeris. Biasanya, dia memborong buku-buku terpakai di kedai elit di Bangsar.
Walaupun hidup sebagai guru - dan tidak menjadi kelompok elit sarjana kampus yang sangat bongkak pada era itu - Pak Engku membaca begitu banyak buku-buku ilmiah berbahasa Inggeris.
Pada usia 20 hingga 23 tahun ketika itu, dan belum satu pun puisi pernah tersiar di penerbitan - saya tetap pendengar yang tekun setiap kali kami berbual soal sastera.
Kalau Pak Engku muncul di Pasar Budaya, banyak waktu dihabiskan berbual dengan saya atau pelukis Aris Aziz.
Pak Engku seorang introvert yang sangat memilih teman berbual. Dia boleh bertegur sapa dengan sesiapa saja, tetapi berbual soal sastera sesuatu yang sangat eksklusif.
Aris akan bersama menikmati segelas teh. Selalunya akan bergegas kerana lot potretnya di Pasar Seni sentiasa dikunjungi pelanggan.
Selebihnya, antara jam 3 petang hingga 7 malam - tiap hujung minggu - hanya saya dan Pak Engku akan duduk berdua di sudut restoran. Kami bergebang sambil menghabiskan bergelas-gelas teh.
"Pak Engku balik naik apa," tanya saya.
"Bas...," jawabnya.
"Kereta mana?" Tanya saya.
"Selalu rosak. Kereta dah tua," jawabnya.
"Jual sajalah Pak Engku. Beli saja kereta baru," kata saya.
"Mana boleh," jawabnya.
"Kereta itu buruk tetapi berisi banyak kenangan. Itulah kereta yang saya gunakan membawa isteri ke klinik dan disahkan hamil anak pertama.
"Itu kereta saya bawa isteri untuk rawatan bulanan. Itulah kereta saya bawa isteri ke hospital dan melahirkan anak-anak. Kereta itu buruk, tetapi penuh kenangan."
Ini kata-kata yang saya anggap puisi lisan yang indah. Saya menikmatinya. Perasaan bahagia dan tersentuh mendengar kisah penuh kenangan seorang penyair terhadap sebuah kereta buruknya.
Kami akrab sebab selalu melepak dan minum kopi. Pak Engku pemurah ilmu - saya pula pencuri yang mahir mencopek ilmu.
Walaupun Pak Engku dianggap introvert - kami berdua sentiasa mengisi perbualan secara lepas cakap.
Waktu itu, saya kutu hippie yang selalu tidak berduit; hidup mundar-mandir dan hanya kutu-rayau. Tapi, jurang antara penyair terkenal dengan budak jalanan yang huru-hara selalu saja mesra.
"Menulislah...," kata Pak Engku.
"Cara bercakap nampak macam minat sastera."
Saya mendengarkan saja. Saya selesa mendengar, kerana selebihnya saya menikmati teh tarik berganti gelas. Selain belanja teh, rokok Dunhill Pak Engku juga berbatang-batang saya hisap.
Kami pula ada 'chemistry'. Sama ada kesabaran saya mendengar atau kepetahan Pak Engku berbual soal sastera - itu hal seni. Selebihnya, kami tidak saling malu bercakap soal jantan. Berketik soal betina.
"Saya suka perempuan hujung meja di sana, Pak Engku. Matanya kecil dan hidung macam watak anime Jepun," kata saya.
"Hahaha," Pak Engku ketawa.
"Saya suka yang tipikal melayu. Tapi kena lunak suaranya."
Kami ketawa berdekah-dekah. Budak hippie yang baru berusia 20 tahun yang tidak pernah pun merasa nikmat bercium dengan wanita, berbual penuh lagak bersama penyair sohor. Minat sama walaupun usia berbeza.
Gelas teh tidak akan sempurna kalau ditelan tanpa mengomel soal wanita.
Hahahaha.
Teh tarik dan kelas puisi
Lima tahun masa berlalu. Pada 1992 - ketika saya baru merangkak dan belajar menulis, tiap kali bertemu saya akan menghulur sehelai dua kertas bertulis puisi. Pak Engku akan memasukkan dalam beg galas.
Minggu depan dia akan muncul. Selepas memesan teh dan kami duduk di hujung meja Restoran Hameed Pasar Seni, dia akan mengeluarkan kertas puisi saya. Sudah berconteng pen merah. Pak Engku akan komen sana-sini.
"Puisi ini kering isi dan kata-katanya bombastik. Puisi yang baik ialah akalnya, bukan ledakan emosi," katanya.
Pada satu bulan Ogos tahun 1992 - dia muncul dan bertanya; "Zainal, kamu ada hantar karya ke Sayembara Puisi Alam Sekitar?"
Saya angguk dan menjawab: "Ya ada. Saya hantar dua set."
"Ada kamu tulis puisi mengenai alam dan masa depan anak-anak?"
Saya menjawab: "Ya...."
Pak Engku mendiamkan diri. Saya pun kehairanan kerana dia tahu saya menyertai sayembara itu. Tetapi perbualan seterusnya segera bertukar topik.
Seperti biasa kami bercakap isu-isu sastera. Pak Engku juga bercerita mengenai minatnya pada haiku Jepun.
Selepas 30 tahun sejak zaman Pasar Seni, Pak Engku mengajar saya tidak kedekut ilmu dan beramahlah pada penulis muda. Walaupun sampai sekarang - ilmu saya tidak mampu menandingi khazanah pustaka pengetahuan dan pembacaannya yang luar biasa terhadap sastera Inggeris.
Pada hari dia pergi - saya berada di pusaranya. Saya berada di liang lahadnya. Tidak ada apa-apa kesedihan. Saya bangga dan terharu, Pak Engku sebagai penulis telah menyelesaikan tugas sasteranya.
(Terima kasih pada Kata Pilar kerana mengusahakan penerbitkan puisi-puisi tidak tersiar T Alias Taib melalui buku Peneka Silang Kata)
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Zainal Rashid Ahmad
Fri Apr 17 2020
Azizi Haji Abdullah dan T.Alias Taib merupakan antara nama-nama penulis hebat yang memberikan sumbangan besar pada rak ilmu sastera Malaysia.
10 Berita Pilihan - (26 November 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Kemboja kini destinasi pelaburan yang kompetitif di ASEAN, kata PM Hun Manet
Kemboja menikmati keamanan dan kestabilan politik yang merupakan faktor penting, manakala kerajaan negara itu mengamalkan dasar ekonomi yang paling terbuka dan bebas di Asia.
Populasi panda raksasa peliharaan di dunia cecah 757 ekor
China telah menubuhkan 67 rizab alam semulajadi panda raksasa dan Taman Negara Panda Raksasa, merangkumi kawasan seluas 2.58 juta hektar.
Caj hospital swasta meningkat, KKM akan bawa pendekatan perkhidmatan berasaskan nilai
Isu peningkatan caj hospital dan insurans perubatan yang melambung tinggi dibangkitkan beberapa ahli Parlimen yang meminta KKM untuk mengawal perkara berkenaan.
AWANI Ringkas: Jenayah | Rusuhan di Islamabad
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
MTL: Lebih 100 hektar padi sedia dituai ditenggelami banjir, kerugian hampir RM1 juta
Seramai 39 pesawah dari Kampung Luar dan Kampung Tersang di sini mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas sawah seluas 121 hektar ditenggelami banjir.
Consider This: BERSIH Report Card — From ‘D’ to Distinction?
Two years into its term, the Madani government finds itself under the microscope. Bersih has given the Anwar Ibrahim-led Administration a grade of ‘D’, citing its failure to deliver on key institutional and democratic reforms. Is this verdict too harsh, or is it a necessary wake-up call for those in power that they do not have the luxury of time? On this episode of #ConsiderThis Melisa Idris speaks to Muhammad Faisal Abdul Aziz, Chairperson of BERSIH, and Ooi Kok Hin, Executive Director of BERSIH.
Rancangan Kawasan Khas Tanah Tinggi Lojing dirangka untuk dibangunkan secara dinamik
Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang telah dirangka sebagai garis panduan bagi membolehkan pembangunan secara dinamik dan holistik dilaksanakan di kawasan berkenaan.
AWANI Tonight 26 Nov 2024
#AWANITonight with @_farhanasheikh
1. M'sia-S. Korea: PM visit secures RM32.8 bil in potential investments
2. A woman killed by partner or family member every 10 minutes - UN
#AWANIEnglish #AWANINews
1. M'sia-S. Korea: PM visit secures RM32.8 bil in potential investments
2. A woman killed by partner or family member every 10 minutes - UN
#AWANIEnglish #AWANINews
AWANI Tonight: A woman killed by partner or family member every 10 minutes - UN
A UN report revealed 85,000 women and girls were victims of femicide in 2023, with majority cases involving an intimate partner or a family member. #AWANITonight
Kesahihan darurat: Rayuan Badan Peguam rujuk isu Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan ditolak
Mahkamah Rayuan menolak rayuan Badan Peguam Malaysia untuk merujuk isu perlembagaan berhubung kesahihan pengisytiharan darurat pada 2020 kepada Mahkamah Persekutuan.
Proton jual 13,362 kereta pada Okt 2021, peningkatan 1.6% berbanding 2020
Pencapaian itu melangkaui prestasi jumlah jualan industri (TIV) bagi pasaran automotif tempatan, yang telah menurun sebanyak 4.7 peratus.
Tokyo 2020: Cabaran Azizulhasni dan Shah Firdaus berakhir dalam acara pecut
Bagaimanapun kayuhan emas sebenar 'The Pocket Rocketman" akan dinanti dalam acara kegemarannya iaitu keirin yang akan memulakan saingan pada Sabtu ini.
Hala tuju pasca SPM: 'Ikut minat, jangan ikut rakan'
Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 disaran mengenal pasti minat dan kemampuan diri sebelum membuat pilihan pendidikan di peringkat tinggi.
Pelaksanaan mandat, adaptasi pendigitalan sumbang prestasi cemerlang SME Bank tahun 2020
Pelaksanaan mandat dan adaptasi pendigitalan sumbang prestasi cemerlang SME Bank tahun 2020.
TNB jangka raih pendapatan lebih baik tahun ini
Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjangka mampu memperoleh pendapatan yang lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lepas walaupun negara masih berdepan dengan situasi penularan pandemik COVID-19.
Azhar Harun sedih ada rakan putuskan hubungan bila dilantik Speaker Dewan Rakyat
Azhar memberitahu teman-temannya berubah sikap dan menjadi "seolah-olah mereka bukan kawan" apabila beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Calon duduki SPM 2020 cipta sejarah tersendiri
Seramai 401,105 calon sekolah yang menduduki SPM 2020 cipta sejarah mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan.
Lebih 6 juta ujian saringan RT-PCR, RTK Antigen dilaksanakan - Dr Adham
Dr Adham Baba berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,332,554 merupakan ujian saringan RT-PCR yang dijalankan pada 2020.
2020 tahun paling buruk buat industri penerbangan, trafik global susut 75.6 peratus - IATA
Kapasiti tempat duduk setiap kilometer (ASK) turun 68.1 peratus dan faktor muatan jatuh 19.2 mata peratusan menjadi 62.8 peratus.