Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan walaupun Kluster Benteng Lahad Datu di daerah itu dan di Tawau merekodkan 62 kes hari ini, ia masih terkawal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster tersebut bukan berada dalam kalangan masyarakat setempat, sebaliknya dikesan membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Jelas beliau lagi, kesemua PATI berjaya ditahan dalam Operasi Benteng yang dijalankan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain.

“Apabila kita saring PATI itu, (mereka) positif. Jadi, apabila positif tindakan kita setakat ini (menempatkan mereka) di lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau dan penjara Tawau.

“Kes-kes ini terkawal dan ia bukan dalam masyarakat. Contohnya, hari itu kita juga ada 277 kes di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan ia masih terkawal... serta bukan dalam masyarakat,” katanya dalam sidang media, di sini pada Selasa.

Dr Noor Hisham menambah perkara yang penting ketika ini adalah untuk mempertingkatkan pengesanan dalam kalangan PATI bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.