KUALA LUMPUR:Penggiat seni muzik tanah air yang terjejas sumber pendapatan disebabkan oleh pandemik COVID-19 hari ini menerima sumbangan barangan keperluan harian melalui inisiatif KKMM Prihatin.

Menurut kenyataan media Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), sumbangan tersebut diserahkan secara 'pandu lalu' di Anjung Kompleks KKMM, Putrajaya pada Khamis.

"Sumbangan ini diserahkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah secara ‘pandu lalu’ kepada 50 orang pemuzik yang diwakili secara simbolik oleh lima orang pengerusi pertubuhan.

“Usaha ini bertepatan dengan konsep public-private partnership yang berteraskan kerjasama strategik antara kerajaan dengan pelbagai pihak.

“KKMM Prihatin merupakan inisiatif kementerian ini dan Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),” jelas kementerian itu.

Acara penyerahan sumbangan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek; Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Ahli Perbadanan FINAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof.