KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia meneroka keberkesanan alat ujian pernafasan bagi mengesan virus COVID-19, Breathonix yang digunakan di Singapura.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Malaysia sedang dalam proses menerima permohonan bagi ujian klinikal dan kelulusan. 
 
"Kita ada satu agensi MDA yang boleh menerima permohonan ujian klinikal dan kelulusan untuk menjalankan ujian klinikal dan kelulusan. Apabila selesai maka, boleh digunakan di negara kita," katanya dalam sidang media melalui Zoom pada Khamis.

Ketika ini katanya, Medical Device Authority (MDA) mendapati HSA Singapura dan Therapeutic Goods Administration (TGA) Australia hanya membenarkan penggunaan penggunaan kit ujian COVID-19 untuk kegunaan profesional sahaja. 

Manakala, Food and Drug Administration (FDA) membenarkan Self Test bagi ujian COVID-19. 

"Namun kita masih lagi menunggu supaya pihak MDA boleh meluluskan permohonan-permohanan daripada pembekal dan selepas itu kita boleh teroka untuk digunakan ujian sampel COVID-19 melalui ujian pernafasan yang dilihat lebih mudah apabila masa dan ketika sampai," jelasnya lagi.

Mengenai cadangan menggunakan kit ujian RTK-Antigen melalui penggunaan air liur secara kendiri, jelas Dr Idham, ia masih dalam proses kelulusan.

Jelas beliau, keputusan mengenai kelulusan kaedah baharu ujian di rumah dan di tempat kerja itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Kita menggunakan kit ujian RTK antigen untuk saringan .Kita telah berusaha supaya lebih ramai orang boleh buat ujian COVID sendiri. Ia sedang kita usahakan supaya boleh dikeluarkan kepada masyarakat dan boleh diperoleh di farmasi, melalui KKM, majikan atau pembekal yang disenaraikan. 

"Ia mempunyai ketepatan spesifik dan sensitiviti yang tepat untuk RTK. Untuk itu, kerajaan melalui KKM sedang usahakan untuk guna air liur secara kendiri dan kit ujian ini dalam proses kelulusan dan akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya. 
 
Melalui kit ujian ini seorang individu boleh membuat ujian kendiri bagi mengetahui jangkitan COVID-19 dan mereka yang bergejala akan mendapat manfaat daripada kaedah ini.

"Sekiranya, positif boleh diasingkan di rumah atau wajar ke hospital dan asing dari keluarga. Keputusan itu juga perlu dimaklumkan kepada pejabat kesihatan atau melalui MySejahtera," tambahnya.