JITRA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan perigi terapi ion di Ulu Sepri, Negeri Sembilan yang dikatakan dapat menyembuhkan beberapa penyakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM akan menyediakan laporan menyeluruh dan hasil siasatan dalam masa terdekat.

Menurutnya, sebarang dakwaan atau perkara berkaitan dengan aspek kesihatan hendaklah disokong dengan bukti.

"Tiada masalah jika ada orang membuat tuntutan seperti itu, tetapi mereka mesti berasaskan bukti, itu pandangan KKM. Kami sedang menyiasat perkara tersebut dan akan mengeluarkan penemuan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah 2024 di sini pada Sabtu.

Baru-baru ini, tular di media sosial yang mendakwa penggunaan air dari perigi di Rembau itu mampu memberi manfaat kesihatan kepada individu yang menghidap pelbagai penyakit termasuk strok menerusi teknologi rawatan khas.

KKM kemudian menerusi aplikasi X memaklumkan akan mengambil perhatian serius terhadap isu berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan dakwaan seumpama itu.

"Saya percaya adalah sangat penting untuk kita sentiasa lengkapi diri dengan maklumat, antaranya celik ilmu kesihatan adalah kuncinya.

“Jangan mudah terpedaya dengan sebarang tuntutan perubatan, jangan terlalu mudah dipermainkan oleh sebarang maklumat yang belum pasti," tambahnya. - Sinar Harian