Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan penutupan sementara Pasar Awam Taman Megah, di Petaling Jaya berikutan kes seorang peniaga yang disahkan positif COVID-19.

Susulan itu katanya, 60 peniaga di premis itu turut menjalani ujian dan saringan COVID-19 dan pengesanan kontak rapat dilakukan.

"Kami telah diberitahu bahawa Pasar Awam Taman Megah sebenarnya ada peniaga positif COVID-19 dan sebagai sebahagian langkah pengesanan kes, ia turut melibatkan 60 peniaga di sana yang juga merupakan kontak rapat.

"Kami harap boleh mengesan sesiapa yang pernah berhubung dengan mereka. Berdasarkan pengalaman, kadar pengesanan kontak rapat adalah 30 peratus (secara am)," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menasihatkan mereka yang ada kontak rapat dengan peniaga terlibat agar melakukan saringan COVID-19.

"Melainkan mereka mempunyai kontak rapat, jadi barulah mereka perlu lakukan ujian COVID-19. Namun apa yang penting kami mahu mereka mengelak daripada perhimpunan awam dan mengutamakan penjarakan sosial dan pastikan sentiasa mencuci tangan dari satu gerai ke satu gerai," ujar beliau.

Terdahulu, ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin menerusi laman Facebooknya memaklumkan, pejabatnya telah menerima laporan terdapat satu kes positif COVID-19 di Pasar Pagi Taman Megah.

Menurutnya, mangsa yang disahkan positif COVID-19 merupakan salah seorang peniaga sayur di pasar tersebut.