PUTRAJAYA: Segala maklumat dan data berkaitan COVID-19 kini akan dipaparkan di laman web baharu COVIDNOW, dan pelaporan harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan format baharu, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, beliau berkata, data yang bakal dipaparkan memalui pembaharuan tersebut termasuklah perincian kes baharu dan kematian beserta status dan jenis vaksin; kapasiti sistem kesihatan awam; serta data kesan sampingan susulan vaksinasi (AEFI).

Beliau berkata, ia sebagai tambahan kepada pelaporan data sebelum ini seperti kes mengikut negeri dan ujian saringan, kluster, kadar kematian mengikut negeri, kapasiti penggunaan ICU dan data mobiliti.

“KKM sedar untuk memastikan penglibatan yang menyeluruh oleh masyarakat termasuklah ahli akademik, pihak swasta dan NGO; dalam usaha melindungi diri, keluarga dan juga komuniti daripada jangkitan virus COVID-19.

“…adalah dengan menyediakan data serta maklumat yang lengkap dan terperinci berhubung situasi semasa jangkitan virus tersebut di dalam negara,” katanya lagi.

[TERKINI] Sidang Media Kementerian Kesihatan Malaysia


Selain itu, Khairy berkata, KKM juga akan membuat pembaharuan supaya laporan lebih tepat dapat dilakukan mengenai data kematian setiap hari.

Jelasnya lagi, berdasarkan prosedur sebelum ini, pelaporan data perlu disahkan selepas mayat selesai menjalani proses bedah siasat, yang katanya mengambil masa berhari-hari.

“Sebelum ini, proses pelaporan kena tunggu lepas bedah siasatan, kumpul data, baru pengesahan kematian dapat dibuat. Ini mengambil masa hari dan minggu, menyebabkan ‘backlogs'. Jadi ia tidak dapat memberi gambaran tepat tentang data kematian,” katanya lagi.

Khairy berkata, melalui pelaporan terbaharu, tarikh sebenar kematian akan diumum pada hari tarikh pengumuman kes dibuat, dan ini menjadikan data itu lebih tepat.

Memetik Selangor sebagai contoh, Khairy berkata, kaedah pelaporan lama menunjukkan jumlah sebenar kematian harian adalah lebih rendah berbanding yang dilaporkan.


BERITA LANJUT MENYUSUL