Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad berhasrat untuk mendapatkan semula wang yang dikatakan lesap dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata biarpun hutang kerajaan ketika ini adalah kira-kira RM800 bilion seperti yang dilaporkan Bank Negara Malaysia (BNM) namun jelasnya ia tidak termasuk ‘jumlah tersembunyi'.

“Kami mahu mendapatkan semula duit 1MDB,” tegasnya dalam satu sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya Khamis malam setelah selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.

Selain itu, Tun Dr Mahathir turut menekankan kesungguhan Pakatan Harapan untuk mendapatkan pengampunan bagi Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menghapuskan undang-undang yang dilihat tidak adil.

BACA: 'Buka semula kes 1MDB!' - saran TI-M kepada pimpinan baharu SPRM

Beliau juga berkata beberapa ketua agensi kerajaan akan ditukar atau digugurkan.

Tun Dr Mahathir turut disertai pemimpin-pemimpin kerajaan yang lain termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dalam sidang media tersebut selepas menghadiri majlis angkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Balairong Seri, Istana Negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang berusia 92 tahun itu juga mencipta rekod tersendiri apabila kembali dipilih untuk menyandang jawatan tertinggi pentadbiran negara buat kali kedua.


#MalaysiaMemilih: Sidang media Perdana Menteri