BUTTERWORTH: Najis tikus, lalat dan lipas ditemukan di ruang memproses pau, malah anjing peliharaan turut berada di dalam kilang yang terletak di Medan Melor, Butterworth.

Itu situasi kotor dan meloyakan yang dikesan didalam Op Tegar yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Pulau Pinang pada Rabu.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata, berikutan situasi tersebut pihaknya mengarahkan kilang berkenaan ditutup  selama dua minggu.

Mohd Wazir berkata, premis terbabit pernah dikenakan tindakan penutupan pada 2019.

Katanya, pemilik kilang berusia 72 tahun itu didapati gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berwajib malah telah berulang kali melakukan kesalahan sama.



"Di premis kedua, kita lihat ada najis (tikus, lipas di tempat pemprosesan makanan dan tempat stor penyimpanan bahan mentah.

"Haiwan peliharaan memang dilarang (berada dalam premis pemprosesan makanan) dan hari ini kita dapati terdapat tiga ekor anjing yang berkeliaran di dalam premis makanan. Perkara ini amat mendukacitakan. Kita sudah ajar cara mengendalikan makanan tapi tak dipatuhi," ujar Mohd Wazir.

Mengulas lanjut, beliau berkata, premis berkenaan tidak layak beroperasi sebagai kilang memproses makanan kerana berada di dalam kediaman selain beroperasi tanpa lesen.

Malah, pemeriksaan juga mendapati bahan dipercayai daging khinzir yang digunakan untuk membuat inti pau dan dim sum juga diletakkan bersebelahan tandas di dalam kilang berkenaan.

"Premis ini adalah premis kediaman, iaitu memang tidak boleh beroperasi sebagai kilang. Kedua, dari sudut kebersihan makanan, setelah dibuat pemeriksaan, kita melihat kesalahan besar yang tidak sepatutnya berlaku. Itu yang saya kata memang tidak layak beroperasi untuk mengendalikan makanan," katanya.



Mohd Wazir berkata, produk berkenaan adalah untuk pasaran sekitar kedai kopi di Butterworth.

Notis perintah penutupan premis di buat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 manakala tiga kompaun turut dikenakan di bawah peraturan Peraturan 32 dan 35  Akta Makanan 1983.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata pihaknya turut mengeluarkan lima notis kompaun ke atas sebuah kilang bebola ikan di Jalan Raja Uda, atas beberapa kesalahan.

Kilang yang sudah beroperasi selama 20 tahun itu didapati tidak mematuhi peraturan antaranya pekerja tidak memakai sarung tangan semasa memproses bebola selain tidak disuntik tifoid.

Kesemua notis kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 32 dan 35 (6) Akta Makanan 1983.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Op Tegar yang dijalan di Butterworth pada Rabu.

Operasi berkenaan turut disertai penguatkuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).