KUALA LUMPUR:Seramai 116 pekerja di dua kilang milik Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd di Shah Alam disahkan positif COVID-19 setelah pemeriksaan dilakukan baru-baru ini.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, syarikat tersebut menjelaskan pihaknya telah selesai membuat pemeriksaan kira-kira 2,137 kakitangan, dan hanya 116 yang didapati terjejas, lapor The Edge.

Pejabat Kesihatan Daerah Petaling menasihatkan Panasonic agar menghentikan operasinya untuk sementara waktu sehingga diberitahu lebih lanjut.

BACA SEMUA BERHUBUNG COVID-19 DI SINI

Akur dengan saranan itu, Panasonic memutuskan untuk menutup kilangnya bermula Isnin hingga Rabu untuk membolehkan pakar pembasmian kuman menjalankan tugas mereka.

"Keselamatan dan kesejahteraan pekerja dan kakitangan serta komuniti adalah keutamaan kami untuk mengatasi keadaan.

"Kami telah dan akan terus mematuhi prosedur operasi standard pencegahan (SOP) COVID-19 secara ketat,” kata Panasonic.

Panasonic juga mengatakan bahawa kegiatan pembasmian kuman telah dilakukan secara berkala di premis pembuatannya dan tempat tinggal pekerja.

Menurut makluman yang dikeluarkan Panasonic, semua langkah-langkah pencegahan yang disarankan telah dilaksanakan dengan ketat.

Pada Isnin, harga saham Panasonic adalah empat sen atau 0.32% lebih rendah pada RM31.50, menjadikan  pasaran syarikat menjadi sekitar RM1.92 bilion.