Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak desas-desus timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali bakal mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor.

Abdul Khalid sebaliknya menyifatkan dakwaan itu sebagai 'asam garam dalam dunia politik'.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu pada Ahad melaporkan wujud desas-desus Azmin bakal menggantikan Abdul Khalid.

Beberapa pihak dalam PKR dikatakan tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran menteri besar itu.

Mengikut laporan tersebut, ia termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Abdul Khalid gagal membelanjakan perolehan negeri dengan baik.

Mengulas kritikan itu, Abdul Khalid berkata sebagai pemimpin, beliau perlu berhati-hati dan berdisiplin dalam menggunakan segala sumber yang ada, bagi memastikan pentadbiran di Selangor berjalan lancar.

Menyentuh tindakan beberapa pihak dalam PKR yang dikatakan membuka akaun khas di laman sosial bagi 'membunuh' karakter beliau, ADUN Pelabuhan Klang itu menganggap ia sebagai kebebasan bersuara.