KUALA LUMPUR: Tarikh 21 Februari 2021 menjadi hari yang bersejarah buat Malaysia apabila rakyat negara ini menyaksikan ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang mungkin menjadi jawapan kepada ketahanan manusia terhadap pandemik COVID-19.

Berikut adalah 5 perkara yang anda perlu tahu tentang perkembangan hari ini.

1) Vaksin Pfizer-BioNTech mendarat di KLIA

Pesawat MH604 dengan hiasan livery Jalur Gemilang mendarat pada pukul 10.07 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perjalanan vaksin itu dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh syarikat farmaseutikal itu dan DHL, peneraju dalam industri logistik, melalui perjanjian di peringkat global.

Vaksin itu berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di lapangan terbang di Jerman iaitu Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.

BACA: Vaksin tiba, buka lembaran baharu Malaysia perangi COVID-19 dalam fasa seterusnya


[TERKINI] COVID-19 | Vaksin tiba di KLIA

2) Pemindahan dan penyimpanan

Proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA.

Selesai proses pemindahan, trak syarikat logistik itu diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan.

Vaksin COVID-19 yang telah tiba di Malaysia akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara.

Ini termasuk penghantaran menerusi kenderaan darat dari Singapura ke Johor yang dijadual tiba di PSV pada pukul 2 petang tadi, selain akan turut diterbangkan ke PSV di Pulau Pinang yang dijangka tiba pada pukul 6 petang.

BACA: Vaksin Pfizer akan dihantar ke 16 PSV di seluruh negara - Khairy Jamaluddin


3) Program Imunisasi COVID-19 diawalkan

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan diawalkan dari tarikh yang ditetapkan pada 26 Februari, kepada 24 Februari.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Putrajaya.

Turut sama akan menerima suntikan pada hari itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

BACA: Program Imunisasi COVID-19 diawalkan, Perdana Menteri terima suntikan pada 24 Februari


Suntikan vaksin | Suntikan pertama Perdana Menteri diawalkan 24 Februari


4) 571,802 petugas barisan hadapan bakal terima suntikan

Seramai 571,802 petugas barisan hadapan telah berdaftar untuk menerima vaksin COVID-19 pada fasa pertama setakat ini.

Sebanyak 57.3 peratus daripada jumlah tersebut adalah anggota perubatan dan kesihatan, manakala 42.7 peratus lagi anggota bukan kesihatan.

Ini termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Rela, pegawai Penjara; Kastam; Jabatan Kesihatan; serta Bomba.

BACA: 571,802 petugas barisan hadapan berdaftar terima suntikan vaksin fasa pertama - Khairy
 

5) KKM terus jalin kerjasama dengan Pfizer

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalin kerjasama dengan syarikat farmaseutikal, Pfizer untuk menjalankan pemantauan sepanjang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berlangsung.

Kerjasama akan merangkumi aspek pengawasan selepas suntikan vaksin, penggunaan icagari low dead-volume dan teknologi penghantaran.

Malaysia dijangka menerima penghantaran kedua vaksin Pfizer pada 26 Feb ini, dan seterusnya setiap dua minggu.

BACA: Program Imunisasi: KKM akan jalin kerjasama dengan Pfizer bagi pemantauan


Vaksin Pfizer | Malaysia terima kumpulan kedua 26 Februari ini

 
Semua berita vaksin COVID-19