KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengakui kesilapan petugas di kaunter pendaftaran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sehingga menyebabkan berlaku pertindihan maklumat nombor kad pengenalan seorang wanita sebagai individu yang sudah menerima vaksin.

Memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku, Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin memberi jaminan kesilapan itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kebocoran data peribadi individu terbabit dan langkah pembetulan telah dilakukan.

"Langkah-langkah pembetulan telah diambil pihak jabatan malah proses validasi sistem juga telah dilakukan dari semasa ke semasa sebagai langkah kawalan kualiti," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, tular di Facebook kisah seorang wanita yang berhasrat mendaftar untuk pengambilan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera namun beliau mendapati dirinya sudah direkodkan sebagai telah menerima suntikan pertama vaksin pada 3 Mac lepas di Klinik Kesihatan Selising dekat sini.

Menerusi hantaran itu, wanita terbabit mendakwa aplikasi tersebut turut mengeluarkan notifikasi kepadanya agar mendapatkan suntikan kedua vaksin semalam selain memaklumkan bahawa beliau bukan terdiri daripada petugas barisan hadapan.

-- BERNAMA