Lee berkata kesejahteraan mental berkait rapat dengan produktiviti dan kesihatan mental yang baik di tempat kerja membawa manfaat seperti meningkatkan fokus dan kualiti kerja, mengurangkan ketidakhadiran, meningkatkan motivasi, kerjasama yang lebih baik dan kadar pengekalan pekerja yang lebih tinggi.
Beliau berkata antara strategi meningkatkan kesihatan mental di tempat kerja adalah dengan menganjurkan program kesedaran mengurangkan stigma dan mempromosikan kesejahteraan dalam kalangan pekerja, seperti mengadakan bengkel pengurusan tekanan.
"Para pengurus boleh mengikuti bengkel pengukuhan kemahiran untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan mengenali simptom dan menawarkan sokongan emosi menerusi pendengaran aktif," katanya dalam kenyataan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada Khamis.
Lee turut menekankan kepentingan memperbanyak perbincangan terbuka mengenai kesihatan mental, menggalakkan pekerja bercakap mengenai cabaran dihadapi mereka dengan menjanjikan kerahsiaan, melatih pengurus dalam kemahiran kaunseling asas dan mendaftar dalam Program Bantuan Pekerja (EAP).
Strategi lain termasuk memperuntukkan bajet untuk inisiatif kesihatan mental dan membangunkan dasar yang mengutamakan kesihatan mental berkaitan waktu kerja, beban kerja, persekitaran yang selamat dan sihat serta dasar tiada diskriminasi.
"Benarkan aturan kerja yang fleksibel mengikut kesesuaian. Ini akan membolehkan pekerja menyeimbangkan antara kerja dan kehidupan dengan lebih baik," katanya.
Tarikh 10 Okt ditetapkan sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia sejak 1992 dan tema tahun ini ialah 'Masanya untuk Mengutamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja'.
-- BERNAMA