KUALA LUMPUR: Mempertingkat kesiapsiagaan dalam mendepani gelombang atau pandemik baharu adalah antara isu yang perlu diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memastikan sektor kesihatan negara berada pada tahap terbaik.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan am Dr Hanafiah Bashirun berkata kesiapsiagaan itu antaranya membabitkan penambahan alat bantuan pernafasan serta kesediaan membangunkan hospital medan pada waktu kritikal.

"Kalau pandemik ini berlaku lagi, mungkin ada virus baharu dan pandemik baharu, kita tak tahu. Oleh itu, kita hendaklah pastikan tenaga kerja kesihatan sentiasa mencukupi sesuai dengan situasi semasa," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berkata memandangkan negara akan beralih ke fasa endemik, terdapat tiga perkara penting yang perlu ditumpukan dalam RMK12 termasuk memantapkan pengawasan terhadap kewujudan kluster besar secara mendadak serta varian baharu supaya negara bersedia dan terus bertindak.

Selain itu, fasiliti kesihatan perlu sentiasa bersedia menampung pertambahan pesakit sekiranya berlaku gelombang secara tiba-tiba.

Beliau juga berkata kemudahan kesihatan perlu ditambah di tiga lokasi penting iaitu bandar yang sesak dan miskin, kawasan pedalaman dan jauh serta di Sabah dan Sarawak.

"(Kerajaan perlu) tumpukan pada (kawasan) ini, naikkan fasiliti, tambah kakitangan dan tambah perkhidmatan, bukan setakat fasiliti asas tapi termasuk kepakaran dan makmal, mungkin boleh kurangkan penumpuan kepada hospital besar di bandar," katanya kepada Bernama.

Zainal berkata pembangunan sumber manusia turut perlu diberi perhatian dalam meningkatkan kepakaran ahli perubatan seperti doktor, ahli farmasi serta jururawat selain memberi peluang latihan dan kepakaran supaya seimbang dengan keperluan semasa.

Katanya bukan sahaja kepakaran dalam bidang penyakit berjangkit perlu dipertingkat, langkah itu juga perlu dilakukan bagi penyakit tidak berjangkit seperti kanser, kencing manis dan jantung.

-- BERNAMA