KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menilai cadangan dasar baharu berkaitan tempoh menduduki kuarters kerajaan untuk memastikan pengurusan lebih sistematik, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Dalam jawapan di Dewan Rakyat yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, beliau menyatakan Bahagian Pengurusan Hartanah sedang mengkaji cadangan dasar tempoh penghuni, termasuk pelaksanaan dasar ‘exit policy’ bagi pengurusan lebih baik.

"Pada masa ini, dasar keutamaan yang sedia ada memberi perhatian khusus kepada pejawat awam yang menghadapi musibah atau tergolong dalam kategori orang kurang upaya untuk menerima tawaran menduduki kuarters dengan lebih awal. 

"Sementara itu, penjawat awam muda yang baru dilantik perlu menunggu giliran mereka melalui saluran biasa seperti yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut Dr Zaliha, pelaksanaan dasar tempoh menduduki perlu mengambil kira pelbagai faktor untuk mengelakkan kesan negatif kepada penghuni tertentu. 

“Dasar 'exit policy' ini tidak boleh dilaksanakan secara simplistik, seperti menetapkan tempoh maksimum 10 tahun sahaja.

“Sebaliknya, perlu ada pertimbangan khas bagi penghuni dengan keperluan tertentu, seperti faktor kesihatan atau perancangan untuk bersara dan kembali ke kampung halaman. 

“Golongan ini wajar diberi kelonggaran untuk terus mendiami kuarters tanpa had masa tertentu,” tambahnya.

Katanya, cadangan dasar ini, bertujuan memastikan keseimbangan antara memberikan kemudahan kepada penjawat awam dan memastikan kuarters kerajaan dimanfaatkan secara optimum oleh golongan yang memerlukan.