KUALA LUMPUR: Kesepakatan ketika membuat sesuatu keputusan menjadi kunci utama yang mengukuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak setahun lepas, khususnya dalam membawa kestabilan ekonomi, politik dan keharmonian rakyat di negara ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pentadbiran Kerajaan Perpaduan di negeri itu, meskipun adakalanya berbeza pandangan dalam kalangan pimpinan negeri namun ia bukan penghalang dalam memastikan urusan pentadbiran negeri berjalan dengan lancar.

"Setiap minggu kami mengadakan mesyuarat exco secara profesional, aman damai, bertoleransi walaupun kadang-kadang ada pendapat yang berbeza tapi kita raikan dan pada akhirnya kita buat keputusan secara bersama.

"Perpaduan yang terjalin ini sekali gus menolak keraguan sesiapa juga yang beranggapan bahawa kerajaan ini hanya mampu bertahan dalam jangka masa singkat," katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas mengenai ulang tahun setahun Anwar sebagai Perdana Menteri, selepas menghadiri program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, di Bagan Datuk.

Saarani berkata dengan sokongan dan dukungan penuh diberikan barisan exco kerajaan negeri khususnya dari Pakatan Harapan (PH), beliau optimis gabungan berkenaan akan kekal sehingga akhir penggal bagi meneruskan dan menjalankan amanah sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab untuk rakyat di Perak.

Turut senada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang berharap agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Perpaduan supaya momentum membina semula negara dapat diteruskan hingga berjaya.

Beliau berkata prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar amat cemerlang dan kesannya dapat dinikmati semua lapisan masyarakat selain beliau membawa nama Malaysia semakin dipandang tinggi di mata dunia.

"Pentadbiran kerajaan MADANI selama satu tahun membawa harapan dan erti bahawa kesepakatan Kerajaan Perpaduan demi memulihkan ekonomi negara. Ia juga menunjukkan kekuatan kepimpinan Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan.

Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 Nov 2022, lima hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Dis 2022.

Pada 19 Jan, Anwar memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia. MADANI itu diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Mengulas lanjut, Nga berkata Perdana Menteri juga telah mengetuai seluruh Jemaah Menteri bekerja tanpa mengira lelah untuk menarik pelaburan dari luar negara, mengurangkan kadar defisit dan juga inflasi serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara mampan.

"Hasilnya, ekonomi Malaysia berkembang pesat pada tiga suku pertama tahun ini dengan pertumbuhan ekonomi pada suku pertama sahaja sebanyak 5.6 peratus. Kadar inflasi negara juga turun kepada 1.9 peratus, pasaran kerja bertambah stabil sekali gus menjadikan kadar pengangguran menurun daripada 5.9 peratus kepada 3.5 peratus," katanya.

Beliau berkata lawatan rasmi Perdana Menteri ke China sebanyak dua kali pada tahun ini juga telah meraih pelaburan sebanyak RM170 bilion sementara lawatannya ke Amerika Syarikat sempena mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pula menjana RM63 bilion pelaburan berteknologi tinggi.

"Sekiranya kesemua projek pelaburan ini dilaksanakan, ramalan Bank Dunia iaitu aspirasi negara Malaysia berpendapatan tinggi pada 2028 akan tercapai. Oleh itu, saya berharap semua rakyat Malaysia bersatu padu untuk bersama-sama menuju ke arah negara maju," katanya.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pula berkata setahun Kerajaan Malaysia MADANI di bawah pimpinan Anwar membuktikan gabungan itu adalah yang terbaik dan berkomitmen tinggi dalam menghasilkan kejayaan buat negara.

"Bagi seorang Perdana Menteri yang mengambil alih kerajaan buat kali pertama dan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan ini, saya percaya kerajaan telah melakukan sehabis baik. Datuk Seri Anwar sendiri bekerja siang dan malam, komitmen beliau yang berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini sangat luar biasa.

"Daripada data yang dikeluarkan Merdeka Centre (sebelum ini) sebenarnya PM mempunyai rating tertinggi berbanding perdana menteri yang lain untuk tempoh setahun. Saya percaya rating beliau masih melebihi 50 peratus dan ini adalah satu bukti bahawa beliau di antara yang terbaik," katanya kepada Bernama.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah pula berkata momentum yang dibawa Anwar dalam Kerajaan Malaysia MADANI diyakini akan memulihkan ekonomi dan kestabilan politik negara ini.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menyampaikan syarahan perdana di Universiti Selangor (Unisel) sempena Istiadat Konvokesyen Unisel kali ke-17 di Kampus Bestari Jaya, Shah Alam hari ini turut berharap rakyat akan memberi sokongan dan mendoakan suaminya untuk terus mampu menggalas tanggungjawab mengemudi negara.

Pada masa sama, beliau berharap kepada pihak tertentu untuk tidak sekadar melontarkan tohmahan kepada Anwar sebaliknya memberi cadangan untuk memperbaiki cara kepimpinannya.

"Dia tidak sempurna, dia manusia biasa, pada umur ini dengan tanggungjawab ini, kita doakan sama-sama. Jangan kutuk, kritik tidak apa. Dengan pelbagai persepsi dan naratif (kepada Anwar), macam mana lagi nak buat, (jadi) bagilah cadangan untuk memperbaiki," kata beliau.

-- BERNAMA