PUTRAJAYA: Krisis kemanusiaan di Palestin yang semakin memburuk sejak awal Oktober lepas, membangkitkan pelbagai terjemahan masyarakat dunia yang membantah tindakan kejam rejim Zionis termasuk dengan tidak lagi menyokong produk pro-Israel dan mula beralih kepada produk tempatan.
Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali menunjukkan solidariti kepada masyarakat di Palestin apabila pelbagai senarai perkongsian produk tempatan 'membanjiri' platform di media sosial sama ada produk makanan, barangan keperluan sehinggalah produk yang besar seperti perabot.
Situasi yang berlaku ini, bagaikan satu rahmat buat pengusaha tempatan apabila 'membuka mata' masyarakat bahawa produk kita sebenarnya sudah setanding dengan jenama antarabangsa malah ada yang mendapat pengiktirafan di peringkat global.
Nama seperti San Francisco Coffee, US Pizza, BritishIndia, Zus Coffee antara jenama yang sudah kukuh dan diminati ramai, namun mungkin sebahagian besar tidak mengenali bahawa ia sebenarnya produk tempatan dan hanya diketahui selepas dikongsikan netizen di media sosial.
Tidak itu sahaja, kerana ada juga jenama yang kurang didengari seperti produk lampin pakai buang bayi jenama Midori, sabun pencuci Inas, jenama-jenama keperluan diri seperti Halagel, Mismis, atau Swag serta pelbagai lagi jenama yang juga berkualiti tetapi kurang mendapat perhatian mungkin disebabkan promosi yang tidak meluas serta kesukaran untuk mendapatkannya.
Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melihat situasi ketika ini merupakan ruang terbaik untuk dimanfaatkan pengusaha produk tempatan bagi mempromosikan barangan mereka melalui pelbagai platform sedia ada.
"Isu boikot ini agak sensitif dan ia adalah hak pengguna. Kementerian perlu bersikap neutral kerana berperanan menjaga pengusaha barangan tempatan dan juga produk luar, cuma pengusaha tempatan boleh menggunakan keadaan ini mempromosikan produk mereka sebagai ganti kepada barangan luar yang tidak mahu dibeli oleh pembeli," Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan, KPDN Datuk Rohaizi Bahari memberitahu Bernama dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini.
Beliau yang melihat trend tersebut sebagai satu perkembangan positif turut mengharapkan sikap mengutamakan produk tempatan ini tidak bermusim sebaliknya berterusan selain pengusaha juga perlu meningkatkan kualiti barangan serta perkhidmatan agar setanding dengan produk luar dan harga berpatutan.
PRODUK TEMPATAN DI TEMPAT PREMIUM
Tidak menafikan kualiti produk tempatan sebenarnya semakin bertambah baik terutamanya dalam pembangunan produk termasuk pembungkusan, rekaan serta mendapat pensijilan yang ditetapkan berdasarkan penanda aras tertentu sama ada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Biarpun begitu, KPDN melihat cabaran besar dalam menggalakkan penggunaan barangan tempatan dalam kehidupan seharian masyarakat adalah produk dan perkhidmatan ini kurang dikenali kerana tidak dipasarkan secara meluas selain promosi kurang agresif.
Malah, untuk produk tempatan menembusi ke pasar raya utama yang menjadi tumpuan ramai serta premium agak sukar dan ini juga antara faktor dikenal pasti mengapa produk tempatan tidak begitu menjadi pilihan masyarakat.
Maka tidak menghairankanlah, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) masih belum mencapai matlamatnya untuk meningkatkan semangat patriotisme masyarakat membeli barangan dan menggunakan perkhidmatan tempatan walaupun sudah menjangkau 39 tahun.
Walhal, kempen yang dimulakan sejak tahun 1984 dan dijenamakan semula pada tahun 2009 memperkenalkan pelbagai inisiatif strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan.
"Kita dapati apabila pengguna berada dalam situasi pembelian antara barangan import dan tempatan, mereka lebih mengutamakan produk luar dan keadaan ini berbeza dengan Thailand, apabila semangat patriotisme masyarakatnya yang lebih mengutamakan produk mereka sendiri.
"Kalau kita berada di sana (Thailand) banyak produk mereka yang dipromosikan dan diletakkan di tempat premium seperti di lapangan terbang, pasar raya utama selain ditempatkan di ruang depan pintu masuk premis," katanya.
Kesedaran begitu tinggi masyarakat Thailand untuk mengutamakan produk mereka itu didukung polisi negara berkenaan yang mewajibkan pengusaha dan peniaga untuk mendahulukan barangan tempatan berbanding produk luar.
Keadaan ini berbeza dengan Malaysia yang masih belum mempunyai polisi khusus dalam menggalakkan penggunaan barangan serta perkhidmatan tempatan dan sehingga kini hanya bergantung kepada kempen semata-mata untuk meningkatkan kesedaran masyarakat serta pengusaha.
TAMBAH BAIK STRATEGI
Justeru, KPDN kini dalam usaha menambah baik strategi pemasaran dan meningkatkan penggunaan produk tempatan termasuk menjalin kerjasama dengan pasar raya besar, kedai serbaneka dan kedai di stesen minyak.
Menjelaskan mengenainya, Rohaizi berkata, setakat ini kementerian mempunyai 16 rakan strategik untuk memartabatkan barangan Malaysia menerusi industri peruncitan tempatan seperti 'Lotus's Malaysia, Mydin, KK Supermart dan Petronas Mesra.
Sementara kementerian juga turut berkolaborasi dengan tiga rakan strategik melalui platform dalam talian seperti Shopee, Lazada dan PG Mall untuk menjayakan KBBM.
"Strategi pemasaran produk dan perkhidmatan tempatan kini berbeza apabila tumpuan diberikan di tempat premium kerana masyarakat akan lebih percaya kepada kualiti sesuatu produk yang dipasarkan di lokasi berkenaan. Sebelum ini, agak sukar produk tempatan menembusi pasar raya premium disebabkan stigma.
"Bagaimanapun, tidak boleh menyalahkan mereka (pemilik pasar raya) kerana beberapa aspek perlu diambil kira antaranya adakah kualiti barangan tempatan sesuai diletakkan di sana selain mampukah memenuhi permintaan secara berterusan," katanya.
Menerusi strategi bersifat serampang dua mata, pemasaran produk tempatan di pasar raya premium ini juga berkapasiti sebagai gerbang menembusi pasaran global melalui rangkaian peruncitan mereka yang beroperasi di pelbagai negara misalnya AEON mahupun Lulu.
Malah, banyak barangan tempatan berjaya dipasarkan di luar negara seperti di negara Timur Tengah menerusi kolaborasi tersebut dan kerana itu kementerian tidak memandang mudah perihal pembangunan produk dan peningkatan kualiti.
Memahami akan keperluan tersebut, KPDN sentiasa berusaha membantu pengusaha tempatan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan mengikut piawaian yang ditetapkan menerusi khidmat nasihat, latihan berterusan dan padanan perniagaan mereka dengan peruncit utama negara ini.
Selain pemasaran fizikal, penekanan juga turut menitikberatkan pengusaha untuk memanfaatkan kelebihan ekosistem digital dan infrastruktur e-dagang dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka seiring dengan perubahan gaya hidup dan mengikut trend semasa.
Disebabkan itu, Rohaizi tidak melihat transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok Shop di Malaysia sebagai 'ancaman' tetapi sebagai satu peluang terbaik bagi pengusaha tempatan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka dengan lebih meluas dan efektif.
Media sebelum ini melaporkan negara jiran, Indonesia mengharamkan platform TikTok Shop di negaranya kerana dilihat mengancam peniaga tempatan sementara Malaysia setakat ini masih belum lagi membuat sebarang keputusan atau pendirian mengenainya kerana cadangan sekatan masih lagi dalam penelitian.
"Generasi kita sudah berbeza dan anak-anak muda termasuklah mereka yang sudah dewasa sudah beralih kepada pembelian di media sosial seperti TikTok dan kerana itu KPDN melihat pengusaha boleh memanfaatkan peluang ini untuk memaksimumkan promosi produk mereka," katanya.
NAFAS BAHARU KBBM
Sejajar dengan perubahan ini, pihak kementerian juga turut menyuntik nafas baharu memperkasakan KBBM menerusi penganjuran Karnival Barangan Malaysia (KBM) 2023 bagi merangsang kelangsungan semangat patriotik masyarakat dalam mengangkat jenama tempatan.
Ini termasuk mengadakan lima siri jelajah mini KBM di pasar raya premium melibatkan zon utara, selatan, pantai timur, Sabah dan Sarawak yang disertai seramai 18 hingga 22 usahawan tempatan bagi memastikan produk ini dapat diakses masyarakat.
Kemuncak jelajah ini akan diadakan selama lima hari bermula 13 Disember ini dengan skala besar melibatkan lebih 100 pempamer menerusi pelbagai kluster dari seluruh negara bertempatkan di IOI Grand Exhibition Convention Centre, IOI City Mall, Putrajaya.
Bertemakan keeksklusifan Barangan Malaysia, karnival ini tidak hanya mengetengahkan jualan dan pameran, tetapi turut berperanan sebagai medan terbaik dalam membantu pengusaha untuk meningkatkan kapasiti penjualan barangan dan perkhidmatan mereka supaya lebih meluas menerusi segmen padanan perniagaan.
Biarpun demikian, timbul persoalan apakah karnival ini mampu mencapai matlamatnya memandangkan trend pembelian masyarakat didapati berkurangan sejak pasca COVID-19?
"Tidak dinafikan sejak pasca COVID-19, trend pembelian berkurangan kerana pelbagai faktor seperti peningkatan kos sara hidup, kegawatan ekonomi yang menyebabkan orang ramai sudah mula berjimat bagi kelangsungan kehidupan seharian.
"Kerana itu, kalau dilihat pencapaian KBBM pada tahun 2022 yang mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.7 bilion terdapat sedikit penurunan dari segi nilai jualan berbanding tahun 2021 yang mencatatkan sebanyak RM3.2 bilion," katanya yang turut menambah penurunan nilai jualan KBBM itu juga disebabkan pengurangan peruntukan selain beberapa syarikat besar tidak dapat berkolaborasi pada tahun lepas.
Biarpun berlakunya penurunan jualan, namun jumlah unit penyimpanan stok (SKU) pada tahun tersebut (2022) menunjukkan peningkatan sebanyak 3,871,128 SKU iaitu peningkatan sebanyak 67 peratus berbanding pada tahun 2021.
Pencapaian ini sebenarnya memperlihatkan semakin banyak produk baharu tempatan mula memasuki pasaran, bagaimanapun, kuasa membeli pengguna masih di tahap rendah berikutan krisis kewangan global.
Bagi menangani isu ini, kementerian memperbanyakkan program di lapangan termasuk karnival jelajah KBM untuk masyarakat lebih mengenali serta menarik minat mereka menjadikan barangan Malaysia sebagai pilihan utama bagi menggantikan produk dari luar.
KARNIVAL BARANGAN MALAYSIA 2023
"Langkah kerajaan memperkasa dan melaksanakan KBBM menerusi pelbagai inisiatif strategik seperti karnival jelajah KBM adalah bagi mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa khususnya dalam merancakkan serta merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk atau perkhidmatan tempatan.
"Untuk tahun ini, kita pergi ke lima zon di seluruh Malaysia menerusi siri jelajah mini sebelum kita tutup dengan acara kemuncak KBM pada Disember ini. Diharap dengan pelaksanaan inisiatif strategik, KBBM dapat meningkatkan kuasa membeli rakyat terhadap barangan tempatan," katanya.
Selain jelajah KBM, inisiatif strategik lain yang telah dan akan dilaksanakan adalah Jualan Bertema Berdasarkan Segmen Khusus dan untuk tahun ini, segmen yang dipilih adalah fesyen dan juga kraftangan bagi memberi ruang kepada industri tempatan yang kurang diberi pendedahan melalui KBBM.
Kementerian juga turut menjalinkan kolaborasi strategik bersama syarikat media animasi digital menerusi pembangunan slot animasi bagi menyuntik minat patriotisme terhadap barangan tempatan bermula sejak kecil lagi.
"Saya mewakili KPDN menyeru rakyat Malaysia mahupun luar negara untuk menjayakan 'Jom Sokong dan Beli' barangan Malaysia dengan membeli serta memilih barangan tempatan yang sememangnya berkualiti dan setanding dengan produk luar.
"Kalau bukan kita menjunjung produk barangan Malaysia, cintakan produk tempatan dan sokong barangan Malaysia, siapa lagi?" tanya beliau.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Dec 12 2023
Rohaizi melihat trend mengutamakan produk tempatan sebagai satu perkembangan positif dan berharap sikap itu tidak bermusim sebaliknya berterusan. - Gambar hiasan
Pemandu mabuk sebabkan kematian pasangan suami isteri didakwa di mahkamah
Seorang lelaki mdidakwa atas dua pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan dalam badan sehingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri.
Sony bangunkan konsol mudah alih permainan PS5
Peranti konsol mudah alih baharu Sony ini mungkin mengambil masa beberapa tahun sebelum hadir ke pasaran.
'Tak payah anjur Anugerah Kredit Madani' - Mas Ermieyati
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengkritik pelaksanaan Anugerah Kredit Madani dan menggesa agar KPKT menyatakan makenisme sesuai pantau syarikat kredit komuniti yang mengenakan faedah tinggi.
#SisiTVParlimen #AWANInews #DewanRakyat
#SisiTVParlimen #AWANInews #DewanRakyat
LaLiga: Saya mahu bantu Real Madrid jaringkan gol - Kylian Mbappe
Kylian Mbappe percaya dia sudah mula bangkit bersama rakan sepasukannya di Real Madrid selepas menjaringkan gol ketika kemenangan 3-0 berdepan Leganes.
Mercedes cipta sistem brek EV terbina pada motor elektrik
Sistem brek ini tidak perlu diselenggara sepanjang hayat kenderaan dan tidak mencemarkan udara kerana serbuk brek yang terhasil tidak disebarkan ke udara.
Kementerian Perpaduan berjaya laksana lebih 300 program berimpak tinggi tahun ini
KPN laksanakan program merapatkan jurang sosial rakyat Malaysia sekali gus meraikan kepelbagaian budaya, adat resam, perayaan dan warisan.
Payung pantai lebih cantik dan tersusun di Telok Kemang bermula 16 Disember
MPPD menyediakan 33 plot perniagaan payung pantai baharu itu menggantikan khemah biru yang mencemarkan pandangan di kawasan Pantai Telok Kemang.
Mansuh peperiksaan di sekolah untuk kurangkan tekanan murid - Fadhlina
Keputusan Kementerian Pendidikan memansuhkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan bertujuan mengurangkan tekanan murid sekolah.
Sidang Parlimen: Dasar tempoh kuarters kerajaan akan dikaji semula
Kerajaan sedang menilai cadangan dasar baharu berkaitan tempoh menduduki kuarters kerajaan untuk memastikan pengurusan lebih sistematik, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Dalam jawapan di Dewan Rakyat yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, beliau menyatakan bahawa Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) sedang meneliti cadangan memperkenalkan dasar tempoh penghuni, termasuk kemungkinan pelaksanaan dasar exit policy.
Dalam jawapan di Dewan Rakyat yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, beliau menyatakan bahawa Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) sedang meneliti cadangan memperkenalkan dasar tempoh penghuni, termasuk kemungkinan pelaksanaan dasar exit policy.
Sidang Parlimen: Skim MySalam dalam perancangan untuk dilanjutkan
Kerajaan merancang melanjutkan tempoh pelaksanaan skim MySalam selama dua tahun lagi, menjadikannya empat tahun dari tempoh asal, menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata langkah ini bertujuan memperluaskan perlindungan sosial bagi golongan berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan.
Beliau berkata langkah ini bertujuan memperluaskan perlindungan sosial bagi golongan berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan.
Liga Super: Penyokong Perak cadang boikot aksi bertemu JDT
Rata-rata penyokong The Bos Gaurus melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan pertukaran gelanggang ke Stadium Sultan Ibrahim.
Boikot Coca-Cola, Pepsi tingkat saingan minuman soda tempatan di negara Islam
Kedua-duanya menghadapi cabaran daripada minuman soda tempatan di negara-negara tersebut kerana boikot pengguna.
Isyarat tsunami kepada FAM
Pekan berkata, peminat sudah muak dengan segala drama dan masalah dalam FAM yang masih tidak menemui jalan penyelesaian.
BJFood dijangka berdepan kemerosotan pendapatan susulan boikot, persaingan sengit - Penganalisis
Berjaya Food Bhd (BJFood) dijangka menyaksikan penguncupan pendapatan pada tahun kewangan 2025 berikutan pemulihan jualan yang lembap disebabkan boikot yang berpanjangan dan persaingan sengit daripada
Pestabola Merdeka tanpa 'chant' Ultras Malaya
Perjuangan skuad bola sepak negara dalam saingan Pestabola Merdeka 2024 berkemungkinan besar tanpa dibarakan 'chant' Ultras Malaya.
Ultras boikot Pestabola Merdeka
KEJOHANAN Pestabola Merdeka yang akan berlangsung pada 4 September ini mendapat tamparan apabila beberapa ultras negeri bertindak memboikot kejohanan edisi ke-43 itu.
X saman pengiklan, dakwa boikot sebabkan pendapatan menjunam
Nasib platform ini semakin tenat dengan pendapatan pengiklanan menjunam 40% dalam tempoh enam bulan pertama berbanding tahun sebelumnya.
Pengundi India tidak boikot, survei tular hanya perang psikologi - Kumaresan
ADUN Batu Uban itu berkata ia hanya perang psikologi yang cuba dimainkan pembangkang bagi menakutkan pengundi minoriti itu.
Petisyen ‘Katakan Tidak kepada BlackRock’ raih lebih 8,000 sokongan
Kempen dilancarkan BDS Malaysia itu bertujuan mendesak kerajaan batalkan serta-merta rancangan menjual pegangan saham dalam MAHB kepada GIP.
Boikot syarikat berkaitan Israel walaupun produk ditawarkan terbaik dalam industri – CEO YADIM
Prinsip boikot terhadap Israel adalah jelas iaitu memboikot semua entiti yang ada kaitan dengan Israel secara keseluruhan.