KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibiliti saksi ketiga dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim Datuk Collin Sequerah berkata Seksyen 155 Akta Keterangan 1950 membenarkan prosiding mencabar kredibilti itu dimulakan sebagaimana dipohon pendakwaan.

"Seksyen ini tidak menyentuh sama ada dokumen-dokumen (kenyataan yang dirakamkan SPRM) adalah diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi atau sebaliknya. Jadi keputusan mahkamah ini ialah saya membenarkan prosiding ini untuk dimulakan," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihaknya akan memulakan prosiding terhadap Pengarah Syarikat Pembinaan Teknik Sempurna Sdn Bhd, Jefri Jamil, yang merupakan saksi ketiga pembelaan menurut Seksyen 155 Akta Keterangan 1950.

"Kebolehpercayaan saksi boleh dicabar dalam kaedah berikut oleh pihak yang terjejas atau dengan persetujuan mahkamah dengan bukti kenyataan sebelum ini tidak konsisten dengan mana-mana bahagian buktinya yang bercanggah dengan keterangan (saksi) yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018," katanya.

Raja Rozela membuat permohonan itu semasa menyoal balas Jefri, apabila dia menyatakan telah memberikan kenyataan kepada SPRM pada 2018 tetapi tidak dapat mengingati kandungannya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid membantah permohonan itu dan memberitahu kenyataan Jefri diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 2 Mac, 2021.

"Pihak pendakwaan tidak boleh memulakan prosiding sehingga dokumen itu telah diubah statusnya. Kami telah memohon untuk mendapatkan dokumen itu tetapi ditolak mahkamah kerana ia diklasifikasikan di bawah OSA," katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

Prosiding diteruskan tengah hari ini.

-- BERNAMA