Polis menahan lapan orang suspek bagi membantu siasatan kes tembak mati seorang wanita dan anaknya berusia lapan tahun di Taman OUG, Jalan Klang Lama, di sini.

Dengan penahanan itu kes terbabit dianggap selesai.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim memaklumkan, kesemua suspek adalah warga Malaysia berusia lingkungan 20 hingga 50-an.

Penahanan dibuat semalam di sekitar Kuala Lumpur dan Perak di mana suspek terdiri daripada pelbagai bangsa, dua daripadanya dipercayai wanita.

"Kami turut merampas sepucuk pistol di Perak dipercayai digunakan dalam pembunuhan tersebut dan telahpun dihantar kepada unit forensik untuk disiasat," katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitternya pagi ini turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan itu polis menyelesaikan kes itu.

"Syabas STAFOC dan JSJ KL @PDRMsia selesaikan kes tembak wanita dan anak di OUG, tangkap lapan orang di Kuala Lumpur dan Perak, rampas pistol semalam #GoPDRMGo," kata Khalid.

6 Julai lepas, seorang ejen hartanah wanita berusia 32 tahun maut di tempat kejadian manakala anaknya cedera parah selepas kereta yang dinaiki ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki menaiki motosikal dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang.