KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melafazkan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru di sini pada Ahad malam.

Najib membacakan teks sumpah berkenaan selepas selesai solat hajat dan doa munajat bersama jemaah masjid menjelang prosiding rayuan akhir kes beliau di Mahkamah Persekutuan, Selasa ini.

Antara pemimpin UMNO yang dilihat hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. Turut hadir, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

'Aku tidak pernah mengetahui dana itu datang dari syarikat SRC' - sumpah Najib

BACA: Mahkamah Persekutuan mungkin terus buat keputusan dalam rayuan akhir kes SRC Najib

BACA: Rayuan SRC: "Ada tiga hari lagi, takkan tak cukup masa?" - Tengku Maimun ingatkan peguam Najib

BACA: Kes SRC International: Najib sekali lagi lafaz sumpah laknat

Dalam lafaz sumpahnya, Najib antara lain mengulangi penafian beliau terbabit dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau juga menafikan mengarahkan mana-mana anggota atau pengarah atau pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun banknya.

"Sejak aku diberikan amanah memimpin negara Malaysia sehingga kini aku tidak pernah, pertama, pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta itu datangnya dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung," katanya.

Beliau juga mendakwa tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkum apa-apa dana bagi tujuan peribadi atau keluarga.

Pada Selasa lalu, panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan pasukan peguam baharu Najib Razak yang minta diberi masa untuk membuat persiapan bagi rayuan dan memerintah rayuan diteruskan mengikut jadual.

Khamis lalu, mahkamah turut menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili Najib dan memerintahkan pihak pendakwaan untuk membentangkan penghujahan.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.