KUALA LUMPUR: Polis sedang melaksanakan proses menemu bual 402 kanak-kanak yang diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dipercayai milik Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB Holding) di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses itu berkemungkinan mengambil masa kira-kira 14 hari untuk diselesaikan.

"Kanak-kanak itu ditempatkan di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur di mana proses temu duga dan dokumentasi boleh dijalankan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Razarudin berkata, pegawai penyiasat akan melaksanakan siasatan dengan teliti kerana kanak-kanak yang ditemu bual didakwa mangsa eksploitasi.

"Kita akan menyiasat dakwaan serangan seksual dan liwat. Selain itu, kita juga akan menyemak sama ada kanak-kanak itu turut dihantar ke sekolah.

"Jika tidak, maka ia adalah satu kesalahan, kami juga akan memeriksa sama ada sekolah atau pusat jagaan yang dihantar berlesen atau tidak," katanya.

Razarudin berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan emosi kepada kanak-kanak itu.

“Siasatan masih di peringkat awal, siasatan perlu dilaksanakan lebih terperinci kerana ia melibatkan kanak-kanak," ujarnya.

Pada Rabu, media melaporkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISB Holdings.

Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Menurutnya, individu ditahan terdiri 66 lelaki dan 105 perempuan berusia 17 hingga 64 tahun.

Tambah beliau, antara modus operandi digunakan, mangsa dipercayai didedahkan cara meliwat sebelum diliwat penjaga dan dipaksa pula untuk meliwat penghuni lain.

Mangsa yang tidak sihat dipercayai dihalang mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal.

Kumpulan itu juga dipercayai menggunakan kanak-kanak dan sentimen agama untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan.

Mangsa turut dipercayai dicederakan menggunakan objek dipanaskan sebagai hukuman atas kesilapan dilakukan selain menyentuh tubuh badan mangsa dengan alasan melakukan rawatan secara perubatan Islam.

Kes disiasat mengikut Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa. - Sinar Harian