Pelakon, Hairul Azreen tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dekat sini pada petang Jumaat bagi memberikan keterangan berkenaan sebuah kes melibatkan dirinya melepaskan dua das tembakan ke udara pada dua tahun lepas.

Berpakaian T-shirt biru muda dan bertopi hitam serta berseluar hitam, pelakon berusia 30 tahun itu tiba di IPD Perak Tengah sekitar pukul 2.05 petang.

Hairul Azreen, dilihat tenang sewaktu tiba bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan sambil diiringi dua orang rakannya.

Sebelum ini, pihak polis meminta aktor itu untuk tampil ke pejabat polis bagi memberikan keterangan ekoran rakaman yang berdurasi 48 saat tular di laman sosial YouTube sejak tiga hari lepas.

Difahamkan, kejadian melepaskan tembakan itu berlaku di belakang rumah bapa saudaranya di Kampung Parit Jerman, Sitiawan pada Julai 2016.