GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang merekodkan peningkatan 82.7 peratus kes jenayah komersial bagi empat bulan pertama tahun ini, iaitu sebanyak 1,387 kes direkodkan membabitkan kerugian RM53 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata sebanyak 759 kes direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas membabitkan jumlah kerugian RM28 juta.

"Kes jenayah komersial ini ialah permasalahan yang sangat serius dalam masyarakat sekarang ini dan sejak awal Januari hingga 30 April, kes jenayah komersial meningkat 628 kes atau 82.7 peratus," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Khaw berkata kebanyakan mangsa, ditipu melalui dalam talian antaranya kategori penipuan itu ialah telekomunikasi (phone scam), love scam, jenayah e-kewangan, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.

"Antara faktor yang menyebabkan jenayah ini masih lagi berleluasa dan sukar untuk dikesan ialah pelaku kerap mengubah modus operandi, menggunakan pendaftaran palsu perkhidmatan prabayar, penggunaan akaun keldai dan kekangan peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Khaw berkata fenomena itu merupakan satu cabaran kepada pihak polis, bagi mengambil langkah-langkah pencengahan yang lebih komprehensif dan agresif dalam menyedarkan orang ramai mengenai risiko penipuan menggunakan teknologi komunikasi.

-- BERNAMA