KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan untuk mendakwa Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings mengamalkan ajaran sesat atau sebaliknya bukan ditentukan oleh menteri.


Ringkasan AI
  • Keputusan Ajaran Sesat: Keputusan untuk mendakwa GISB Holdings mengamalkan ajaran sesat hanya boleh diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) yang akan bersidang bulan depan.
  • Proses Siasatan: Sebelum keputusan MRR, kertas siasatan perlu dibawa ke persidangan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang berlangsung esok.
  • Peranan JAKIM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya menyelaras proses ini dan tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai ajaran sesat1


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan mengenai perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) yang dijangka bersidang pada bulan depan.

Namun, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada MRR, Mohd Na’im berkata ia perlu dibawa ke persidangan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang berlangsung esok.

“Saya tidak hendak ulas lanjut sebab isu ini di bawah bidang kuasa negeri. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya menyelaras sahaja. Kita sudah ambil tindakan segera untuk kertas itu dibincangkan oleh MKI esok.

“Isu ahli mereka perlu bertaubat, pemulihan dan sebagainya, kita tunggu keputusan MRR. Saya tidak boleh mendahului mereka nanti ada kata menteri pula keluar fatwa, mana boleh,” katanya.

Beliau berkata keputusan perbincangan Jawatankuasa Muzakarah MKI itu akan dibentangkan kepada Pengerusi MKI Sultan Perak Sultan Nazrin Shah serta Timbalan Pengerusi yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibawa ke Persidangan Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64, di sini, pada Isnin.