PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi yang dicatatkan pada Minggu Epidemiologi ke-18 2024, menurun kepada 1,995 kes, berbanding 2,237 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan dalam minggu tersebut.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi  ke-18 adalah sebanyak 54,882 kes berbanding 38,933 kes bagi tempoh sama tahun 2023, manakala terdapat 39 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan, berbanding 24 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

“Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-18 adalah sebanyak 70 lokaliti berbanding 63 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

“Dari 70 lokaliti yang dilaporkan, 55 lokaliti di Selangor, enam lokaliti di WPKL dan Putrajaya, tiga lokaliti di Perak, dua lokaliti Pulau Pinang, dua lokaliti di Negeri Sembilan, satu lokaliti di Kedah dan satu lokaliti di Sarawak,” katanya lagi.

Bagi survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata, tiada kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-18, dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 23 kes.

Beliau berkata, tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-18, manakala bagi survelan zika, sebanyak 900 sampel darah dan enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

“Pelaksanaan aktiviti penghapusan tempat pembiakan secara kendiri oleh setiap individu atau dijalankan secara berkumpulan melalui aktiviti gotong-royong oleh komuniti, agensi kerajaan dan swasta serta NGO perlu diteruskan dalam usaha pencegahan denggi meskipun kes semasa denggi tampak seperti menurun.

Beliau berkata, situasi itu kerana kehadiran faktor-faktor tertentu seperti kebersihan persekitaran yang kurang memuaskan, cuaca panas berselang-seli dengan hujan serta pergerakan manusia yang   terus meningkat boleh menyebabkan kes denggi kembali melonjak.

“Pengetahuan berkaitan pencegahan demam denggi perlu disusuli dengan tindakan dengan melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan premis bebas dari ancaman  nyamuk Aedes,” katanya lagi.