PUTRAJAYA: Kes demam denggi dilaporkan menurun kepada 2,278 kes pada Minggu Epidemiologi ke-32 (ME32) iaitu bagi tempoh 4 Ogos hingga 10 Ogos lepas berbanding 2,515 kes pada minggu sebelumnya, dengan dua kematian akibat komplikasi direkodkan.


Ringkasan AI
  • Kes demam denggi menurun kepada 2,278 kes pada Minggu Epidemiologi ke-32 (ME32) berbanding 2,515 kes pada minggu sebelumnya, dengan dua kematian akibat komplikasi direkodkan.
  • Kumulatif kes demam denggi hingga ME32 adalah 90,533 kes berbanding 73,680 kes pada tempoh sama tahun lepas, dengan 80 kematian dilaporkan tahun ini berbanding 53 kematian pada 2023.
  • Bilangan lokaliti hotspot pada ME32 adalah 86, dengan Selangor mencatatkan 67 lokaliti, diikuti Perak dan Negeri Sembilan masing-masing lima lokaliti.


Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME32 adalah sebanyak 90,533 kes berbanding 73,680 bagi tempoh sama tahun lepas.

"Tahun ini 80 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan setakat ini berbanding 53 kematian bagi tempoh sama pada 2023," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME32 adalah sebanyak 86 lokaliti berbanding 95 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata daripada 86 lokaliti yang dilaporkan, Selangor mencatatkan 67 lokaliti, di Perak dan Negeri Sembilan masing-masing lima, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tiga lokaliti, Sabah (tiga), Kedah (dua) dan satu lokaliti di Pulau Pinang.

Dr Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya terdapat satu kes direkodkan pada ME32, yang menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini ialah 64 kes dan tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME32.

Bagi survelan zika pula, beliau berkata 1,666 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel serebrospinal telah disaring dan kesemua mencatatkan keputusan negatif.

-- BERNAMA