Sebanyak 2,812 kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 17 hingga 23 Ogos lalu, menurun sebanyak 258 kes atau 8.4 peratus berbanding 3,070 kes minggu sebelumnya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata jumlah kumulatif kes sehingga kini adalah 65,672 kes, peningkatan 263 peratus atau 47,573 kes berbanding 18,099 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Dua kematian yang dicatat minggu lalu menjadikan jumlah kumulatif kematian denggi sehingga kini adalah 128 kematian, meningkat 93 kematian atau 266 peratus berbanding hanya 35 kematian untuk tempoh sama tahun lalu, katanya dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

Dr Subramaniam berkata Kelantan masih lagi melaporkan kes tertinggi dengan 1,286 kes atau 46 peratus daripada keseluruhan kes, manakala Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah turut menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 60 peratus, 21 peratus, 17 peratus dan 15 peratus.

Beliau berkata melalui Ops Mega, jumlah kes telah menurun di kawasan yang terlibat iaitu Seremban, Negeri Sembilan (59 peratus), Selangor (43 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (40 peratus).

"Lokaliti titik panas juga menunjukkan penurunan iaitu di Selangor, daripada 88 lokaliti berkurang kepada 75 lokaliti dan di Seremban daripada dua lokaliti kepada tiada lokaliti, manakala di Kuala Lumpur dan Putrajaya tiada lokaliti titik panas dilaporkan," katanya.

Dr Subramaniam berkata pada minggu lepas, 736 lokaliti wabak masih aktif termasuk 377 lokaliti di Selangor, 264 di Kelantan, 32 di Johor, 18 di Wilayah Persekutuan dan 10 di Sarawak.

Beliau berkata bagi membantu kerajaan menangani demam denggi, perjumpaan diadakan dengan 20 Pusat Pengajian Sains Perubatan insitusi pengajian tinggi awam dan swasta Isnin lalu, di mana mereka bersetuju bekerjasama dengan kementerian untuk memerangi denggi.

"Setiap insitusi akan melaksanakan inisiatif kawalan denggi dengan menggunakan kepakaran dan inovasi masing-masing di lokaliti titik panas denggi terpilih," katanya.

Dr Subramaniam berkata sempena sambutan Bulan Kemerdekaan masyarakat Malaysia diminta sentiasa terus memastikan persekitaran mereka bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes.