PUTRAJAYA: Sebanyak 1,995 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-18 (ME18) bagi tempoh 28 April hingga 4 Mei lepas berbanding 2,237 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME18 ialah 54,882 kes berbanding 38,933 kes bagi tempoh sama pada 2023.

"Manakala terdapat 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 24 kematian bagi tempoh sama tahun lepas," katanya dalam kenyataaan hari ini.

Menurutnya bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME18 ialah 70 lokaliti berbanding 63 pada minggu sebelumnya.

Dr Muhammad Radzi berkata ia melibatkan 55 lokaliti di Selangor, enam lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Perak (tiga), masing-masing dua di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta masing-masing satu di Kedah dan Sarawak.

Sementara itu katanya, bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME18 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini ialah 23 kes dengan tiada wabak berkenaan dilaporkan.

Bagi survelan zika pula, beliau berkata 900 sampel darah dan enam sampel urin telah dijalankan dengan hasil kesemuanya adalah negatif.

-- BERNAMA