Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini berkata, beliau menyerahkan kepada proses undang-undang untuk mengadili pendakwaan kes anaknya yang sebelum ini disiasat di bawah kesalahan dadah.

"Saya serahkan kepada pengamal undang-undang. Tiada ada komen apa-apa (berhubung pendakwaan)," katanya ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu jawapan bertulis Dewan Rakyat bertarikh 4 April menyebut, siasatan bagi kes kesalahan melibatkan anak menteri telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara dan dijangka dituduh di mahkamah dalam tempoh terdekat

Media pada 5 Januari lepas, melaporkan anak lelaki Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam adalah antara dua lelaki ditahan dalam operasi polis di sebuah pusat hiburan, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan bersama rakannya berusia 33 tahun apabila didapati positif dadah jenis ganja.

Mohamad sebelum ini juga dilaporkan berkata anaknya sama seperti anak orang lain yang tertakluk kepada proses undang-undang negara.- BERNAMA