SHAH ALAM: Kes baharu COVID-19 di negara ini dijangka meningkat mendadak dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jangkaan itu berdasarkan kadar jangkitan yang tinggi daripada gelombang varian Omicron ketika ini.

“Setakat ini, keseriusannya adalah lebih rendah daripada (varian) Delta. (Namun) kekal berjaga-jaga. Dapatkan dos penggalak,” katanya menerusi ciapan di Twitter, pada Sabtu.

Dalam ciapannya, Khairy turut memuat naik laporan tentang kes baharu di negara jiran, Singapura yang kini berjumlah 13,208 kes dengan enam kematian yang direkodkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapannya berkata, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada Jumaat untuk seluruh negara adalah 1.13.



Artikel asal di Sinar Harian