Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata ia susulan pengecaman oleh lelaki warga asing terbabit ke atas mayat itu serta mengakui kanak-kanak berkenaan sebagai anaknya.
"Terdapat kesan kelar pada leher ketiga-tiga mangsa iaitu isteri, anak perempuan dan anak lelaki suspek. Suspek juga telah membuat pengecaman ke atas ketiga-tiga mayat dan mengesahkan mangsa adalah isteri dan anak-anaknya.
"Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) suspek, ketiga-tiga mangsa serta seorang anak suspek yang terselamat juga telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, mayat seorang wanita warga asing dan anak perempuannya, masing-masing berusia 43 dan 10 tahun ditemukan dengan kesan kelar pada leher di dalam longkang di belakang bangunan terbiar di Pekan Simpang Kuala di sini pada 5 petang, Isnin lepas.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga suami dan bapa mangsa ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang pada 9 malam hari sama.
Sementara itu, mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan di Pantai Leman, Kuala Kedah, semalam juga dengan kesan kelar.
-- BERNAMA