ALOR SETAR: Kanak-kanak lelaki etnik Rohingya yang ditemui selamat dalam kes pembunuhan ibu, kakak serta adiknya akan ditempatkan di satu tempat selamat di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan Kedah Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata kanak-kanak berusia lima tahun itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk pemeriksaan dan rawatan, semalam.

Beliau berkata kanak-kanak berkenaan didapati tidak mengalami kecederaan, namun masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

"Terdapat kesan luka lama di bawah pipi kanak-kanak itu, tetapi kecederaan lain tidak ada. Dia boleh bercakap dan bila diberikan mainan, dia mahu bermain, tetapi dia seperti dalam dunia dia sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Halimaton Shaadiah berkata langkah penyelamatan kanak-kanak bukan warganegara itu adalah selari dengan Seksyen 17(1)(i) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1995.

Beliau berkata JKM juga akan mengenal pasti waris kanak-kanak itu bagi memastikan kebajikannya terjaga selain mengalu-alukan komuniti etnik Rohingya di negara ini sekiranya ada yang mahu menjaga kanak-kanak berkenaan.

Mayat seorang wanita warga asing dan anak perempuannya, masing-masing berusia 43 tahun dan 10 tahun ditemukan dengan kesan kelar pada leher di dalam longkang di belakang bangunan terbiar di Pekan Simpang Kuala di sini pada 5 petang, Isnin lepas.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga suami dan bapa mangsa ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang pada 9 malam hari sama.

Polis turut menyiasat penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia dua tahun di Pantai Leman, Kuala Kedah, semalam yang dipercayai anak bongsu suspek.