SHAH ALAM: Kerusi Stadium Shah Alam yang masih boleh digunakan akan ditawarkan secara percuma kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah di negeri ini.


Ringkasan AI
  • Kerusi Stadium Shah Alam yang masih elok akan diberikan secara percuma kepada PBT dan pejabat daerah di Selangor untuk digunakan di stadium atau astaka daerah.
  • Pihak MBI mencadangkan agar kerusi tersebut dipasang di sekolah-sekolah yang mempunyai astaka.
  • Proses perobohan Stadium Shah Alam telah bermula dan dijangka mengambil masa setahun, dengan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam dijadualkan siap sepenuhnya menjelang 2029.


Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, kerusi itu boleh dipasang di stadium daerah atau di astaka di padang daerah.

"Ada yang bertanya (semasa) kerja perobohan Stadium Shah Alam, apa jadi dengan kerusi di stadium ini?

"Kesemua kerusi ini akan ‘dismantle’ dan diasingkan mana yang rosak, akan dilupuskan, manakala kerusi elok akan disimpan di dalam tempat simpanan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Azri memberitahu, pihaknya turut mencadangkan kerusi itu ditawarkan untuk dipasang di sekolah terutama yang mempunyai astaka di negeri ini.

Terdapat 86,000 kerusi di stadium itu dan kerja-kerja pembukaan bumbung dijalankan selepas semuanya selesai dibuka.

Proses perobohan Stadium Shah Alam bermula pada Isnin dijangka mengambil masa setahun itu menggunakan dua jentera jenis hidraulik breaker iaitu kaedah konvensional tanpa bahan letupan bagi mengelak gangguan bunyi, habuk dan air terhadap penduduk.

MBI menjangkakan bumbung bangunan mula dibuka penghujung bulan ini atau awal Ogos.

Sebelum ini, MBI memaklumkan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.

Fasa pertama membabitkan proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam dan dijangka selesai pada Disember 2026.

Bagi fasa kedua pula dijadual bermula pada Januari 2027 membabitkan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi.

Kerja-kerja fasa terakhir pula membabitkan pembinaan terminal bersepadu dan hotel pula dijangka dimulakan antara Januari 2028 hingga Disember 2029. - Sinar Harian