Ringkasan AI
- 1, Kejadian dan Kematian: Muhammad Luth Syauqi, 2 tahun, meninggal dunia selepas termakan keropok beracun di kawasan kebun. Neneknya, Saadiah Yaacob, amat sedih dan sentiasa berdoa agar cucunya selamat.
- Penghormatan Terakhir: Jenazah Muhammad Luth akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan setelah penghormatan terakhir di rumahnya di Kampung Padang Ubi.
- Laporan Kejadian: Astro AWANI melaporkan insiden ini, di mana kedua beradik, Muhammad Luth Syauqi dan Muhammad Akil Syauqi, mengalami kesukaran selepas termakan makanan ringan yang dipercayai dicampur racun tikus.
Saadiah Yaacob, 62, berkata dia mendapat tahu kematian cucu keduanya itu daripada ibu kanak-kanak malang itu Nurain Hanolrizal, 25, yang berada di Hospital Pulau Pinang (HPP).
"Saya terkejut dan amat sedih kerana kedua-duanya saya pelihara sejak kecil. Lepas ni tiada lagi gelak tawa dan keletah dua beradik itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Saadiah merupakan nenek kepada Muhammad Akil Syauqi, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, yang meninggal dunia selepas dipercayai termakan keropok beracun di kawasan kebun milik penduduk yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.
Menurut Saadiah, dia tidak pernah berhenti berdoa agar kedua-dua cucunya selamat dan kembali sihat, namun reda dengan ketentuan tuhan.
"Sejak mereka berada di hospital saya tidak berhenti berdoa sepanjang waktu solat supaya keduanya kembali sihat tetapi dah sampai masa mereka nak pergi jua, saya relakanlah," katanya lagi.
Menurut Saadiah, dia sebelum ini sanggup bermalam di HPP untuk mengetahui perkembangan dua cucunya itu dan tidak menyangka mereka akan pergi buat selamanya.
Katanya, jenazah Muhammad Luth akan dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Padang Ubi, di sini terlebih dahulu untuk penghormatan terakhir ahli keluarga sebelum dibawa ke Kampung Banggol Berangan, Baling untuk dikebumikan.
Katanya, jenazah cucunya itu akan dikebumikan berhampiran pusara abangnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan mengenai dua beradik, Muhammad Luth Syauqi dan Muhammad Akil Syauqi yang masing-masing berusia dua dan tiga tahun, kritikal selepas termakan makanan ringan yang didakwa dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah, Ahad lalu.
Makanan ringan berupa keropok itu digantung pada pagar dawai dikatakan dipasang pemilik kebun, bertujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanamannya.
Kedua-dua kanak-kanak malang berkenaan dikejar ke HPP selepas menerima rawatan di Hospital Kulim.
Sebelum itu, Muhammad Akil menghembuskan nafas terakhir pada 8.30 pagi Rabu.