PUTRAJAYA: Kerjasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Persatuan OKU Sentral (OKU Sentral) dapat membantu kementerian memahami keadaan serta keperluan orang kurang upaya (OKU) secara terperinci.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerjasama itu akan memudahkan pihaknya memperkasa pembangunan terhadap golongan OKU dalam memastikan hak sama rata dan kesejahteraan untuk mereka.

"Kami amat hargai pertemuan ini kerana dapat tambah ilmu mengenai OKU," katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi di sini hari ini.

Pada pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam, Ras Adiba turut menyuarakan keperluan OKU.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusof dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Ras Adiba pula berkata antara cadangan yang dikemukakan pada pertemuan itu ialah reformasi undang-undang serta dasar merangkumi pindaan Akta OKU 2008 dan Akta Pusat Jagaan 1993, menjadikan Jabatan Pembangunan OKU sebagai badan tunggal serta menjadikan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi khas untuk melahirkan jurubahasa isyarat bertauliah.

"Saya bersyukur kerana Menteri terbuka mendengar beberapa cadangan yang dikemukakan dan beliau menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan agensi di bawah KPWKM mengenai cadangan terbabit," kata Pengerusi Bernama itu.

Beliau turut mencadangkan agar KPWKM memansuhkan program Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanpa Tunai atau JKMPay kerana ia menyukarkan penerima untuk membuat pembelian menggunakan kaedah terbabit.

"JKMPay ini diperkenal untuk bantu OKU tetapi ia tidak mencapai objektif. Hanya sesetengah premis perniagaan terima pembayaran menggunakan JKMPay dan ini menyukarkan OKU. Saya harap ia dimansuhkan," katanya.

JKMPay, yang mula dilaksanakan melalui projek rintis pada Februari 2021 di enam negeri iaitu Kedah, Perlis, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Selangor, antara lain bertujuan membantu penerima untuk mengurus serta mengawal pembelanjaan wang bantuan secara berhemat.

-- BERNAMA