KAJANG: Jalinan kerjasama antara Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Persatuan SAR Dogs membolehkan kedua-dua organisasi itu bersama-sama menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan khidmat anjing pengesan dengan lebih berkesan.

Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed berkata agensi berkenaan ketika ini tidak mempunyai haiwan yang ditugaskan untuk usaha SAR, hanya melibatkan tenaga manusia namun dengan penglibatan SAR Dogs, operasi menyelamatkan mangsa menjadi lebih mudah.

"Kerjasama dengan SAR Dogs ini telah lama dijalinkan sejak 2019 tetapi kerjasama ini tidak mempunyai sebarang hitam putih. Baru hari ini termeterai nota persefahaman secara rasmi. Tambahan pula, ia mampu menjimatkan kos pengendalian anjing terlatih selain memupuk penglibatan orang awam dalam operasi SAR.

"Anggota APM iaitu Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) juga akan diberi pendedahan dengan berlatih bersama-sama SAR Dogs bagi mendapatkan ilmu, latihan dan kepakaran dalam mengendalikan anjing bagi pelbagai operasi," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani nota persefahaman antara APM dan SAR Dogs di Lembah GISBH, Kajang di sini hari ini.

Majlis menandatangani nota persefahaman itu melibatkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM Datuk Ismail Mohd Zawawi dan Presiden SAR Dogs Datuk Mohd Nordin Mohd Nor dan Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia R. Kalaivanan.

Aminurrahim berkata setakat ini, SAR Dogs telah terlibat bersama-sama APM dalam tiga operasi SAR yang antaranya operasi SAR tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, Disember tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun berdepan kekangan peruntukan serta aset, ia sama sekali tidak mematahkan semangat APM untuk memberikan latihan khusus seperti latihan khidmat anjing pengesan kepada anggota dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.

Setakat ini, PASPA terdiri daripada 94 anggota yang terdedah dengan latihan khusus berkenaan dan berhasrat untuk menambah 40 anggota dalam pasukan dan kini dalam proses membuat pemilihan bagi menampung anggota PASPA di seluruh negara jika berlaku bencana besar.

Sementara itu Mohd Nordin berkata ketika ini, persatuan tersebut mempunyai sembilan ekor anjing terlatih bersama-sama dengan pengendalinya.

"Latihan yang dijalankan bersama-sama anjing ini dilakukan dengan pengendali mereka. Anjing yang kami ada milik persendirian yang dilatih dan dikendalikan oleh pemiliknya sendiri supaya ada keserasian dan haiwan berkenaan boleh mengikut arahan diberikan.

Beliau berkata ada antara sembilan anjing berkenaan yang sudah lulus latihan dan boleh terbabit dalam operasi SAR, manakala anjing lain masih berada di peringkat awal latihan.

"Semasa operasi SAR di Batang Kali baru-baru ini, terdapat seekor anjing dikenali sebagai Tar yang terbabit pada hari pertama operasi berkenaan kerana ia mempunyai kebolehan mengesan orang hidup yang tempoh awal bencana itu berlaku adalah amat penting bagi mengesan individu selamat," katanya.

-- BERNAMA