JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru akan melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa bahan terjadual yang menyebabkan kejadian pencemaran bau di beberapa kawasan daerah ini sejak minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kerja pembersihan sisa bahan terjadual itu akan dibuat di dua lokasi punca pencemaran iaitu di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika.

Katanya kerja tersebut akan dilaksana sebagaimana terma rujukan (TOR) yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa bahan terjadual ini dijangka mengambil masa tujuh hari dan dijangka siap sepenuhnya pada 22 September depan.

"Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan tidak panik semasa tempoh kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa bahan terjadual dilaksanakan dikawasan tersebut dan mengikut langkah-langkah pencegahan.

"Langkah pencegahan termasuk orang awam dinasihatkan supaya elakkan diri dari memasuki dan berada di kawasan kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ling, penduduk terjejas diminta segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala seperti sesak nafas, sakit dada, loya, muntah dan pening kepala selepas terhidu bau yang disyaki akibat pembuangan sisa kimia.

Katanya penduduk juga diminta untuk tidak melakukan sebarang aktiviti berdekatan kawasan Sungai Tebrau dan Sungai Plentong sehingga arahan seterusnya.

"Elakkan daripada melakukan aktiviti di luar rumah terutamanya kumpulan berisiko seperti ibu hamil, pesakit kronik, kanak-kanak dan warga emas.

"Mereka yang berkemungkinan terdedah kepada sisa kimia berkaitan dinasihatkan supaya mandi dan mencuci pakaian secara berasingan bagi mengelakkan pendedahan melalui kulit.

"Selain itu, ikuti maklumat terkini kejadian ini dari sumber maklumat yang sahih dan mematuhi arahan pihak berkuasa," ujarnya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak panik dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat yang berkaitan, diminta tampil menghubungi JAS Johor di talian 1-800-88-2727 atau Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Johor Bahru di talian 07-220 0604 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Tegas Ling, Kerajaan Negeri juga mengecam tindakan pihak terbabit yang jelas mengambil jalan pintas melupuskan sisa bahan terjadual secara haram.

Kes disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sabit kesalahan boleh dipenjara mandatori dan didenda maksimum RM10 juta.

Pada 3 September lalu, pencemaran bau di daerah ini dikesan di tiga kawasan iaitu Taman Daya, Taman Istimewa dan Taman Mount Austin.

Pencemaran juga dikesan berlaku di Kampung Melayu Pandan dan JAS mengesahkan kehadiran gas Ammonia yang tinggi melebihi tahap normal di Sungai Pandan.

Terbaru, kelmarin Kampung Maju Jaya pula terjejas dengan pencemaran bau sama yang dipercayai berpunca dari aliran Sungai Tebrau sehingga menyebabkan tiga sekolah termasuk dua sekolah swasta berdekatan tidak beroperasi.