Seorang bapa bersama tiga anak nyaris rentung apabila kenderaan yang dipandunya terbakar dan meletup selepas terbabas ke dalam gaung sedalam lebih empat meter.

Tindakan pantas mangsa berjaya menyelamatkan dua anak perempuan dan seorang anak lelakinya yang berusia antara dua hingga sepuluh tahun dari dalam kenderaan berkenaan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta terbabit Mohd Zalmici Che Hussain, 39, dikatakan mengelak seekor haiwan yang tiba tiba melintas jalan.

Kejadian berlaku kira-kira jam tiga petang Rabu di kilometer 18 Jalan Ceneh baru ke Mak Lagam, Kemaman, Terengganu

Ketika kejadian, keluarga berkenaan dalam perjalanan dari bandar Cheneh Baru ke rumah mereka di Lot 144 Kampung Gong limau, Chukai.

Mangsa kemudianya terbabas dan terhumban ke dalam gaung selepas gagal mengawal kenderaannya.

Kereta mangsa yang bergesel dengan pembentung simen berada di dalam gaung berkenaan dipercayai mengakibatkan kereta terbakar dan meletup.

Mangsa bersama tiga orang anak yang berada dalam kereta berkenaan hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che hitam berkata, dua pasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Cheneh Baru dan Kemaman bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Kemaman dengan ambulan oleh pasukan paramedik dari klinik Kesihatan Cheneh Baru yang dikejarkan ke tempat kejadian.

Pemandu kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.