Kerajaan usaha jualan terus tanpa libatkan orang tengah - Anwar
Pelbagai usaha dijalankan kerajaan bagi mengawal harga bafrangan termasuk melaksanakan penjualan terus tanpa pembabitan orang tengah.
Umavathi Ramayah
Thu Apr 06 2023
Anwar berkata, peranan orang tengah boleh dihapuskan menerusi pasar-pasar tani atau projek jualan agro bazar. - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar
PUTRAJAYA: Pelbagai usaha dijalankan kerajaan bagi mengawal harga barangan termasuk melaksanakan penjualan terus tanpa pembabitan orang tengah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peranan orang tengah boleh dihapuskan menerusi pasar-pasar tani atau projek jualan agro bazar oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Situasi ini boleh dilihat jika barangan seperti sayur-sayuran, buah-buahan atau bahan mentah itu dibawa terus dari ladang ke pasar.
"Apa yang penting kita lihat harga sayur jauh lebih murah kerana tidak melalui orang tengah dengan keuntungan berlebihan selain lebih rendah daripada pasar biasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Agro Rahmah bazar Ramadan Presint 3, di sini pada Khamis.
Kerajaan jalan pelbagai usaha jualan terus tanpa libatkan orang tengah
Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara itu bagaimanapun sukar untuk dikawal bagi barangan import.
Katanya, teori peranan orang tengah yang menyebabkan harga itu meningkat adalah apa yang pernah disebut oleh Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz pada tahun 1990an lagi mengenai 'penyelewengan dalam infrastruktur pemasaran'.