KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah menaikkan kos rawatan hemodialisis di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seperti dakwaan yang tular di media sosial.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa kos rawatan hemodialisis di fasiliti KKM tidak pernah dinaikkan dan kekal pada RM13 untuk satu sesi sejak 2016.
  • Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan komitmen kerajaan untuk mengekalkan akses terbuka kepada perkhidmatan kesihatan, dengan perkhidmatan asas dikenakan bayaran RM1 dan perkhidmatan pakar RM5.
  • Kerajaan menolak dakwaan dalam mesej tular yang mendakwa Malaysia menuju ke arah 'khidmat kesihatan berbayar' dan menggesa agar penularan mesej tidak tepat dihentikan.


Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bayaran RM13 untuk satu sesi, atau lazimnya RM169 sebulan bagi perkhidmatan rawatan hemodialisis tiga kali seminggu, adalah bayaran sama sejak 2016.

Selain itu, katanya perkhidmatan asas di fasiliti KKM juga kekal RM1 manakala perkhidmatan pakar ialah RM5.


"Telah tular kembali mesej berantai lama yang mendakwa bahawa Malaysia kini menuju ke arah 'khidmat kesihatan berbayar'.

"Adalah ditegaskan bahawa kerajaan Malaysia terutamanya di bawah pentadbiran Malaysia MADANI telah berulang kali menegaskan iltizam mengekalkan akses terbuka kepada perkhidmatan kesihatan," katanya.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan tidak bercadang untuk menyemak mana-mana fi buat masa ini dan sehubungan itu, penularan mesej tidak tepat dan tidak bertanggungjawab seperti itu harus dihentikan.

Hantaran itu turut dimuat naik tangkap layar mesej yang mendakwa rawatan hemodialisis di hospital kerajaan tidak lagi percuma kerana pesakit wajib membayar RM13 bagi satu sesi atau RM169 sebulan, yang kononnya telah bermula sejak lebih setahun lepas, sedangkan ia sebenarnya ada fi yang sama sejak 2016.

-- BERNAMA